Karkas kucing, anjing dihantar bedah siasat, 1,920 aduan diterima Jabatan Perkhidmatan Veterinar

18 Dis 2025, 3:05 PM
Karkas kucing, anjing dihantar bedah siasat, 1,920 aduan diterima Jabatan Perkhidmatan Veterinar

SHAH ALAM, 18 DIS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan karkas seekor kucing dan seekor anjing yang ditemukan di premis Gelyga Animal Clinic, Damansara Damai sudah dihantar ke Makmal Veterinar Zon Tengah, Salak Tinggi, Sepang hari ini bagi tujuan bedah siasat.

DVS Selangor dalam kenyataan media memaklumkan, tindakan itu susulan pemeriksaan yang dijalankan di lokasi oleh pasukan Pegawai Kebajikan Haiwan (PKH).

"Hasil pemeriksaan menjumpai seekor karkas kucing dan satu karkas anjing diletakkan di dalam sangkar berbeza," katanya.

Dalam perkembangan sama, DVS mengesahkan sehingga hari ini menerima 1,920 aduan berkaitan kes tular kematian kucing dan anjing yang ditinggalkan di dalam sebuah premis di Apartment Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya.

Menurut kenyataan itu, pasukan penguat kuasa DVS Selangor turut mengambil tindakan lanjut di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan dengan memanggil Orang Yang Disyaki (OYDS) untuk hadir ke pejabat DVS Selangor bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

"Siasatan juga akan diteruskan dengan mengesan saksi lain yang mungkin boleh membantu siasatan berdasarkan rakaman video yang tular," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial video yang memaparkan seekor anjing dan seekor kucing mati di sebuah klinik veterinar di Damansara Damai dalam keadaan tidak terurus, dengan sangkar serta sampah bertimbun selain najis haiwan berselerak.

Bertindak atas maklumat dan aduan tersebut, jam 12.30 tengah hari semalam, sepasukan pegawai DVS Selangor telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Berdasarkan pemeriksaan awal ke atas karkas haiwan berkenaan, ia sudah mati antara satu hingga dua minggu lalu. Susulan itu, PKH mengambil kedua-dua karkas serta dua sangkar haiwan terbabit untuk pemeriksaan dan siasatan.