SHAH ALAM, 15 OKT: Pasar Seri Setia kini tampil dengan wajah baharu dan lebih selesa setelah kerja-kerja naik taraf bernilai RM1.13 juta yang dibiayai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata projek tersebut dilaksanakan dalam dua fasa di bawah peruntukan KPKT.
Menurutnya, fasa pertama bermula pada 20 Jun hingga 27 Julai 2024 dengan kos RM660,000.
“Kerja naik taraf fasa pertama melibatkan pemasangan jubin baharu di semua lot niaga aras bawah (pasar basah), pembinaan longkang baharu bagi melancarkan sistem saliran, pembinaan tandas lelaki dan wanita di aras satu, menaik taraf bumbung serta sistem saliran di medan selera tingkat dua, selain penyediaan tandas mesra OKU,” katanya ketika dihubungi Selangor Media.
Beliau menambah, fasa kedua yang menelan kos RM473,520 dilaksanakan pada 16 Jun hingga 25 Ogos lalu, merangkumi pemasangan sinki dan pam air baharu di bilik pam aras bawah serta pemasangan sinki tambahan di aras satu dan dua.
“Sebelum ini, pasar hanya mempunyai kemudahan tandas di aras bawah sahaja. Keadaan itu menyukarkan warga emas yang terpaksa turun naik tangga. Selepas kerja naik taraf, kemudahan kini lebih mesra pengguna dan membantu meningkatkan tahap kebersihan,” jelasnya.
Beliau turut menggesa pengguna dan peniaga agar menjaga kebersihan tandas pasar supaya menepati piawaian BMW (Bersih, Memuaskan, Wangi) seperti yang ditetapkan KPKT.
Lim berkata, Pasar Seri Setia yang berusia antara 40 hingga 50 tahun itu bukan sahaja menjadi nadi ekonomi komuniti setempat malah kekal sebagai lokasi tumpuan berikutan medan seleranya yang popular dalam kalangan pengunjung dari seluruh Selangor.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada KPKT, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), ahli majlis, JKKK Kampung Baru Seri Setia serta para peniaga dan penduduk atas kerjasama mereka sepanjang pelaksanaan kerja naik taraf.
Menurut laporan Selangor Media sebelum ini, Pasar Seri Setia merupakan pasar ikonik tiga tingkat yang menempatkan pasar basah (aras bawah), pasar kering (aras satu) dan medan selera (aras dua), dengan lebih 200 lot niaga. Pasar itu sering menjadi tumpuan orang ramai terutama pada hujung minggu.