PETALING JAYA, 16 JULAI: Masalah loji kumbahan di Pangsapuri Sea Park dijangka dapat diatasi menerusi cadangan projek penggantian dan naik taraf kemudahan itu yang kini berada di peringkat akhir penyediaan dokumentasi.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata, projek di bawah peruntukan Projek Kecil ADN serta Selangor Penyayang itu merupakan antara yang diberi keutamaan sebelum fasa pelaksanaan.
"Antara projek yang saya harapkan dapat diluluskan ialah menggantikan dan menaik taraf loji kumbahan di Pangsapuri Sea Park.
"Projek ini akan menggantikan loji kumbahan sedia ada dan diharap kita tidak perlu lagi melakukan kerja pembersihan serta 'flushing' secara kerap seperti sekarang," katanya ketika ditemui selepas sesi libat urus komuniti setempat projek Safer School Streets di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang memuktamadkan Kuantiti Bil (Bill of Quantities atau BQ) susulan lawatan tapak yang dijalankan bulan lalu sebelum proses seterusnya dilaksanakan.

"Kami telah mengadakan lawatan tapak pada bulan lepas dan bulan ini kami akan memuktamadkan BQ sebelum proses seterusnya dapat berjalan.
"Buat masa ini, kami hanya perlu melengkapkan urusan dokumentasi," ujarnya.
Menurut Yi Wei, loji kumbahan itu merupakan kemudahan persendirian yang sepatutnya diuruskan oleh pihak pengurusan pangsapuri.
Namun, isu pemilikan tanah yang kompleks menyebabkan kawasan itu tidak mempunyai Badan Pengurusan Bersama (JMB).
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pejabatnya mengambil inisiatif membantu kerja penyelenggaraan sistem kumbahan bagi memastikan kebajikan penduduk terus terpelihara.
"Loji itu sebenarnya tidak besar, tetapi ia merupakan kemudahan persendirian yang sepatutnya diuruskan oleh pihak pangsapuri sendiri.
"Pangsapuri Sea Park mempunyai isu pemilikan tanah yang unik sehingga menimbulkan masalah penubuhan JMB," katanya.
Beliau berkata, walaupun keadaan kini terkawal, limpahan kumbahan pernah berlaku pada April lalu sehingga mengalir ke jalan raya.
"Setakat ini tiada masalah yang serius, tetapi kali terakhir berlaku limpahan sekitar April lalu.
"Kami telah melantik kontraktor untuk menjalankan kerja pembersihan dan mengepam keluar sisa kumbahan supaya keadaan kembali pulih," katanya.





