ad

PM sokong tindakan polis terhadap insiden bendera Israel, pelekat Hebrew

14 Okt 2025, 5:30 AM
PM sokong tindakan polis terhadap insiden bendera Israel, pelekat Hebrew

SHAH ALAM, 14 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong tindakan diambil polis terhadap pihak yang menampal pelekat bertulisan Hebrew serta mengibarkan bendera Israel dalam satu program di Kelantan baru-baru ini.

Perdana menteri berkata walau apa pun alasan diberikan, kejadian berasingan itu menyinggung perasaan rakyat dan bertentangan dasar negara.

“Kalau ikut dasar negara, (tampal tulisan) termasuk (kibar) bendera (Israel) walaupun apa matlamatnya, itu adalah salah dan saya setuju supaya polis mengambil tindakan sewajarnya.

"Mana ada negara di dunia, seperti mana dijajah? Orang yang angkat bendera 'Union Jack' itu kita anggap pengkhianat, sama juga dengan apa yang berlaku soal bendera (Israel).

"Walaupun apa alasan diberikan, saya setuju supaya tindakan diambil supaya menjadi pengajaran. Jangan (dibenarkan) berlaku," katanya di Parlimen hari ini.

Pada 8 Oktober, media melaporkan polis menjalankan siasatan terperinci terhadap kenderaan pacuan empat roda yang didakwa menampal pelekat bertulisan Hebrew membawa maksud 'Malaysia adalah Rumah Kita' atau 'Malaysia di Tangan Kami'.

Dua hari selepas itu, Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza berlangsung di Sungai Kelantan turut mengibarkan bendera Israel walaupun matlamat penganjuran sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.