SHAH ALAM, 13 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan komitmen menyantuni masyarakat pelbagai kaum apabila menganjurkan Program Sumbangan Prihatin Sempena Deepavali bagi membantu golongan kurang berkemampuan menyambut perayaan dengan lebih bermakna.
Program berkenaan dimulakan di kawasan Bukit Kemuning dengan 50 penerima terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan miskin bandar, sebelum diperluas ke kawasan lain sekitar Shah Alam.
Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban masyarakat beragama Hindu menjelang perayaan Deepavali minggu hadapan.
“Kita mengadakan penyerahan sumbangan kepada 50 penerima di Bukit Kemuning, membabitkan dua bentuk bantuan iaitu wang tunai RM100 dan keperluan asas bernilai RM170,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan di Dewan Aster, Seksyen 32 hari ini.

Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja memperkukuh hubungan antara pihak berkuasa tempatan dengan komuniti, malah mencerminkan semangat perpaduan dan nilai ihsan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Program ini menjadi wadah untuk kita mendekati masyarakat dan memastikan tiada yang tersisih dalam meraikan perayaan,” ujarnya.
Sementara itu, penerima sumbangan Arthy A/P Arumugam, 39, terharu atas keprihatinan MBSA terhadap golongan berpendapatan rendah.

“Terima kasih kepada pihak MBSA dan ahli majlis atas sumbangan bakul prihatin yang amat membantu kami menyambut Deepavali,” katanya.
Sitha A/P Narasimha,44, yang turut menerima sumbangan mengucapkan terima kasih kepada MBSA.
"Saya terharu dan terima kasih MBSA kerana memberikan sumbangan bakul prihatin untuk kami menyambut Deepavali," katanya.

Parameswari A/P Muniandy, 57, berkata sumbangan itu meringankan bebannya terutama menjelang Deepavali tidak lama lagi.
"Terima kasih MBSA dan ahli majlis kerana beri bantuan Deepavali ini yang meringankan beban kami," katanya.
