PETALING JAYA, 13 OKT: Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) bakal memuktamadkan pemilihan pemain bagi persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selewat-lewatnya menjelang Februari tahun depan.
Presidennya Lim Yi Wei berkata pihaknya turut berharap dapat mengekalkan pingat emas bagi pasukan wanita selain sasaran yang lebih baik kepada pasukan lelaki.
“Sasaran pingat kepada wanita kami harap dapat kekalkan emas. Untuk pasukan lelaki, kita harap dapat capai tahap yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Tahun lalu mungkin kami tidak bernasib baik kerana kita berjumpa pasukan Johor pada pusingan suku akhir di SUKMA,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Komuniti Bagi Projek Perintis 'Safer School Streets' di PJ Smart Center, Bangunan MBPJ di sini, hari ini.
Yi Wei menambah, beliau berharap Kerajaan Negeri sudi menyediakan peruntukan yang lebih banyak kepada sukan pada Belanjawan Selangor akan datang, terutamanya kepada sukan alternatif.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku itu, sudah tiba masanya Kerajaan Selangor melihat keperluan menambah peruntukan sebagai persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu tahun depan.
“Begitu juga dengan penyediaan infrastruktur. Di Selangor ada lebih 400 padang bola sepak tetapi untuk padang ragbi hanya ada tiga sahaja di Lembah Klang, dan itu memang tidak mencukupi.
“Saya harap kita diberi lebih ruang untuk sukan alternatif dan berpotensi. Kalau kita lihat di Sukan Olimpik lalu, Indonesia dapat emas untuk sukan yang kita tidak jangka,” katanya.
SUKMA Selangor bakal berlangsung bermula 15 hingga 24 Ogos tahun depan dengan mempertandingkan 474 acara daripada 37 jenis sukan, sekali gus menjadikan Selangor sebagai penganjur terbesar dalam sejarah kejohanan itu.
Pasangan Helang Putih yang melambangkan simbol kekuatan dan semangat belia dipilih sebagai maskot rasmi dengan tema 'Rentak Kita, Aksi Kita'.