SHAH ALAM, 13 OKT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan sebanyak 6,000 pelajar di seluruh negara dijangkiti wabak influenza setakat ini, dengan beberapa sekolah diarahkan tutup sementara atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata jangkitan itu melibatkan sekolah di beberapa negeri, termasuk sebuah sekolah di Johor, lapor Sinar Harian.
“Setakat hujung minggu lalu, lebih kurang 6,000 murid dilaporkan dijangkiti influenza, namun ia tidak tertumpu di satu kawasan, sebaliknya membabitkan sekolah berbeza di beberapa negeri,” katanya pada sidang media di Putrajaya.
Menurutnya, KPM telah mengedarkan garis panduan pengurusan penyakit berjangkit kepada semua sekolah, institut pendidikan guru (IPG), kolej matrikulasi dan institusi vokasional bagi memastikan langkah pencegahan segera diambil.
“Kita sudah arahkan sekolah supaya menggalakkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan aktiviti berkumpulan buat sementara waktu. Sekolah juga perlu merujuk kepada PKD masing-masing jika berlaku peningkatan kes,” katanya.
Beliau menegaskan KPM akan mematuhi sepenuhnya nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk arahan menutup sekolah jika perlu.
Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual bermula 3 November, Dr Mohd Azam memberi jaminan KPM bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita sudah ada pengalaman semasa pandemik Covid-19. Pegawai di Lembaga Peperiksaan telah diarahkan bersedia menyesuaikan pelaksanaan peperiksaan jika keadaan memerlukan,” katanya.
Beliau berkata KPM mempunyai prosedur khas bagi calon bergejala, termasuk membenarkan mereka menduduki peperiksaan di hospital atau lokasi alternatif di bawah pemantauan rasmi.
Dalam masa sama, sekolah dinasihatkan agar lebih peka terhadap simptom influenza dalam kalangan murid dan guru serta mengambil tindakan segera jika berlaku tanda-tanda penularan.