PETALING JAYA, 13 OKT: Projek Perintis 'Safer School Streets' bakal menyediakan persekitaran lalu lintas yang lebih selamat kepada lebih 1,000 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sea, di sini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata projek ilham pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bike Commute Malaysia itu dijangka mula dilaksana awal tahun depan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Kami telah buat sesi libat urus secara berperingkat dengan pihak sekolah, komuniti dan agensi-agensi kerajaan. Kita mahu satu pendekatan yang pelbagai supaya dapat merangka satu penyelesaian yang holistik.
“Kita harap dapat realisasikan rancangan ini. Dengan peruntukan dan sokongan yang ada, kami berharap dapat tambah baik keadaan di kawasan tersebut,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Komuniti Bagi Projek Perintis 'Safer School Streets' di PJ Smart Center, Bangunan MBPJ di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Loh Y Lun berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat sejak 2023 dan tindakan mula dibuat secara berperingkat bersama semua pihak.

Menurutnya, kawasan berkenaan kerap terjadi insiden kemalangan, dengan yang paling teruk membabitkan seorang pelajar sehingga menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada tahun lalu.
“Selain daripada pelajar, kawasan SS2 ini juga merupakan terdiri daripada komuniti menua. Jadi ramai warga emas dan tidak selamat untuk mereka melintas jalan raya.
“Kami juga ambil tindakan dalam kapasiti kami sendiri seperti mengalihkan laluan pejalan kaki ke belakang, jadi kami sediakan laluan pintas di sebelah sekolah selain menambah bonggol,” katanya.
