SHAH ALAM, 4 MEI: Pengoperasian semula Kompleks IVP di Subang dijangka menjana 1,543 peluang pekerjaan, termasuk 892 jawatan berkemahiran tinggi melibatkan jurutera dan juruteknik.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan fasiliti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) bertaraf tinggi itu bukan sahaja menghidupkan semula aset lama, malah membuka ruang kepada pelaburan berkualiti dalam sektor aeroangkasa.
“Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada industri, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat serta merangsang ekonomi setempat, termasuk limpahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Kompleks IVP di sini, hari ini.
Turut hadir EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han, Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah Datuk Hisham Hamdan serta wakil industri.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal berdaya saing di peringkat global.
Menurutnya, kerjasama dengan institusi latihan seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Approved Training Organisation (ATO) penting bagi memastikan tenaga kerja memenuhi piawaian industri.
Kompleks IVP kini menyediakan ekosistem penerbangan lengkap melalui hangar pesawat yang dikendalikan pemain industri seperti Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MABES) dan Base Maintenance Malaysia (BMM).
Ia turut menempatkan pusat penyelenggaraan enjin oleh GE Aerospace Engine Services Malaysia (GEESM), termasuk Pusat Kecemerlangan enjin LEAP.
Selain itu, kompleks berkenaan dilengkapi kemudahan Engine Ground Run (EGR) Bay, satu-satunya fasiliti khusus di Subang yang mampu menjalankan ujian enjin ‘on-wing’ termasuk bagi pesawat berbadan lebar.








