ad

Industri aeroangkasa pacu ekonomi Selangor, kekal penyumbang utama KDNK negara

10 Okt 2025, 6:37 AM
Industri aeroangkasa pacu ekonomi Selangor, kekal penyumbang utama KDNK negara

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Penguasaan industri aeroangkasa membantu Selangor mengekalkan momentum sebagai penyumbang tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kata EXCO sumber Manusia V.Papparaidu.

Beliau berkata tumpuan yang diberikan terhadap industri aeroangkasas sejak beberapa tahun kini menampakkan hasil apabila sektor itu semakin berkembang sekali gus memacu ekonomi Selangor.

"Pendidikan dan penguasaan industri aeroangkasa di Selangor besar berbanding negeri lain. Kelebihan ini perlu dikekalkan supaya momentum negeri sebagai penyumbang ekonomi terbesar negara dikekalkan.

"Malah, penglibatan lebih ramai pelajar dalam industri aeroangkasa ini memberi lebih pendedahan kepada mereka selain galakan untuk menceburi bidang tersebut.

"Kita akui mereka mendapat pendidikan di institusi pengajian tinggi masing-masing tetapi dengan adanya persidangan seperti ini menjadi dorongan menceburkan diri dalam bidang ini sekali gus mengisi kehendak pasaran," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri sesi dialog pada Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Crew Lounge Sdn Bhd Karim Eletre berkata inisiatif Selangor menumpukan industri aeroangkasa tepat pada masanya berikutan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pelaburan.

"Idea ini sangat bagus dan sebagai salah satu pemain industri saya melihat Selangor mempunyai potensi besar dalam menjadi hab industri aeroangkasa.

"Generasi muda seharusnya tidak lepaskan peluang ini kerana mereka merupakan pelapis pada masa hadapan," katanya.

SIBS yang berlangsung selama empat hari sehingga esok menawarkan lebih 700 reruai kepada pemain industri sama ada dalam kalangan tempatan atau antarabangsa.

Sidang tahunan yang dianjur sejak 2015 memperkenalkan dua acara baharu iaitu Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor dan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) yang sebelum ini dikenali Pameran Udara Selangor.

Tahun lalu, SIBS yang julung kali diadakan secara dua siri iaitu pada Julai dan Oktober, merekodkan nilai transaksi RM13.86 bilion. Pencapaian membanggakan itu melebihi sekali ganda dari 2023 yang memperoleh RM6.12 bilion.