ad

Belanjawan 2026: Dana RM1.26 bilion bukti tekad kerajaan bela kebajikan warga emas

12 Okt 2025, 9:01 AM
Belanjawan 2026: Dana RM1.26 bilion bukti tekad kerajaan bela kebajikan warga emas
Belanjawan 2026: Dana RM1.26 bilion bukti tekad kerajaan bela kebajikan warga emas
Belanjawan 2026: Dana RM1.26 bilion bukti tekad kerajaan bela kebajikan warga emas

SHAH ALAM, 12 OKT: Peruntukan RM1.26 bilion bagi manfaat 180,000 warga emas dalam Belanjawan 2026 mencerminkan tekad Kerajaan Persekutuan memperkukuh jaringan sosial dan kebajikan golongan berkenaan.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata pihaknya yakin dana berkenaan mampu menjamin kesejahteraan hidup warga emas di samping memperkukuh ekonomi penjagaan (care economy) dan solidariti sosial.

“Peruntukan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI menyalurkan bantuan secara lebih tepat kepada golongan yang memerlukan.

Antara inisiatif baharu yang disambut baik termasuk Program Professional Aged and Youth Nursing (PAYN) yang menyediakan latihan profesional kepada penjaga warga emas dan OKU, sejajar aspirasi Malaysia menuju status negara menua,” katanya ketika ditemui dalam satu program di sini hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan memaklumkan dana berkenaan merangkumi bantuan wang saku, sokongan sosioekonomi serta pengoperasian pusat aktiviti warga emas.

Beliau turut mengumumkan kerajaan akan menggubal Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 sebagai panduan strategik menyeluruh yang bakal dilancarkan pada New Frontiers on Care Conference peringkat ASEAN, November ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Belanjawan Selangor 2026 yang dijadual dibentangkan November depan, Anfaal berkata tumpuan dijangka diteruskan kepada wanita dan individu berkeperluan khas, seiring pelancaran Yayasan Insan Istimewa Selangor yang disempurnakan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin pada 9 Ogos lalu.

“Ekonomi penjagaan juga akan diperkukuh, termasuk inisiatif warga emas produktif (silver economy) yang bukan sahaja menumpu kepada aspek penjagaan, tetapi turut membuka peluang menjana pendapatan dan menyumbang kepada pembangunan sosial,” ujarnya.

Menurut beliau, antara fokus utama Kerajaan Negeri ialah pembangunan kanak-kanak dalam 1,000 hari pertama kelahiran bagi memastikan tumbesaran sihat serta potensi kognitif optimum.

“Kita yakin kanak-kanak yang membesar dengan nutrisi mencukupi akan menjadi warga yang sihat, bijak dan produktif,” jelasnya.