SHAH ALAM, 9 JUN: Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor dan Pelan Tindakan 2026-2030 menjadi langkah strategik Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda pembangunan inklusif dengan meletakkan komuniti OKU sebagai rakan kongsi setara dalam pembangunan negeri.
EXCO Kebajikan Masyarakat berkata pelaksanaan dasar komprehensif itu turut menandakan anjakan paradigma penting apabila Selangor beralih daripada pendekatan berasaskan kebajikan yang bersifat pasif kepada pendekatan yang menekankan hak, penyertaan aktif dan pemberdayaan menyeluruh.
Menurut Anfaal Saari, dasar dan pelan tindakan berkenaan dibangunkan berdasarkan realiti serta data lapangan menerusi kajian menyeluruh yang melibatkan komuniti OKU, penjaga, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan akademia.
“Dokumen ini digubal bagi menutup jurang antara dasar dan pelaksanaan menerusi penekanan kepada beberapa fokus termasuk pasak utama dasar berteraskan Maqasid Syariah iaitu nilai ihsan, keadilan serta kesejahteraan manusiawi.
“Ini termasuk memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan, intervensi awal, sokongan kesihatan mental buat OKU serta penjaga, kebolehpasaran ekonomi dan kemudahan ibadah inklusif,” katanya selepas melancarkan dokumen berkenaan di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM di sini, hari ini.

Menurut Anfaal, pelaksanaan dasar itu dipandu secara berstruktur oleh lima teras utama iaitu Kesejahteraan Hidup dan Kesaksamaan Sosial; Pendidikan dan Pembangunan Sepanjang Hayat; Produktiviti dan Pembangunan Ekonomi; Aksesibiliti dan Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) serta Tadbir Urus dan Advokasi OKU.
“Lima teras utama ini bagi menterjemahkan matlamat kepada tindakan nyata bagi membina Selangor yang inklusif untuk semua kerana ukuran sebenar kemajuan Selangor di bawah semangat #KitaSelangorMajuBersama bukan terletak pada pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata.
“Tetapi sejauh mana negeri mampu memastikan setiap rakyat mendapat peluang saksama untuk hidup dengan bermaruah, menyumbang kepada masyarakat dan menikmati hasil pembangunan bagi menjayakan semangat 'Leave No One Behind', sokongan dan kerjasama padu daripada semua pihak adalah amat diperlukan,” katanya.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Mei lalu meluluskan Dasar OKU Selangor sebagai langkah memperkukuh hak serta inklusiviti golongan berkenaan.
Lima teras utama dasar itu adalah Kesejahteraan Hidup dan Kesaksamaan Sosial bagi memastikan kesejahteraan hidup dan kesaksamaan sosial bagi OKU di Selangor melalui peningkatan akses kesihatan, perlindungan sosial, bantuan kewangan dan sokongan komunti secara menyeluruh.

Teras kedua iaitu Pendidikan dan Pembangunan Sepanjang Hayat bagi memastikan OKU menerima sokongan menyeluruh merangkumi aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan kesihatan melalui perkhidmatan yang inklusif dan mudah akses serta memperkukuh sistem sokongan dan kapasiti penjaga.
Teras ketiga iaitu Produktiviti dan Pembangunan Ekonomi bagi memperkukuh peluang pekerjaan dan keusahawanan golongan OKU di Selangor melalui latihan kemahiran, akses kepada pasaran, insentif majikan dan pembangunan kapasiti perniagaan inklusif.
Teras keempat iaitu Aksesibiliti dan Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) memastikan akses pendidikan inklusif dan peluang pembelajaran sepanjang hayat bagi OKU di Selangor melalui pembinaan sistem sokongan, penyesuaian kurikulum dan pengukuhan kapasiti institusi pendidikan.
Teras kelima adalah Tadbir Urus dan Advokasi OKU bagi memperkukuh penyediaan prasarana, kemudahan awam dan pengangkutan yang mesra OKU di seluruh Selangor, selaras prinsip reka bentuk sejagat bagi meningkatkan mobiliti dan kualiti hidup OKU.








