PETALING JAYA, 12 OKT : Pembinaan blok tambahan baharu babitkan Hospital Banting dan Sungai Buloh tepat pada masa, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di institusi kesihatan berkenaan, kata EXCO kesihatan awam.
Menurut Jamaliah Jamaluddin, pihaknya menyambut baik pengumuman peruntukan RM170 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2026, baru-baru ini.

“Memang seperti yang kita semua ketahui, Selangor negeri yang mempunyai KDNK tertinggi dan juga populasi tertinggi kerana kita banyak aktiviti ekonomi dan juga industri.
“Jadi pada masa sama tidak boleh lupakan perkhidmatan perubatan yang amat diperlukan kerana populasi tinggi. Peruntukan yang secukupnya ini boleh menambah ruang di hospital sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan dalam segmen perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Hidup Bersama Dimensia: Langkah dan Kesedaran anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Dewan BU 11, di sini, hari ini.

Jamaliah dalam masa sama menegaskan, Kerajaan Negeri akan terus mengusulkan pembinaan Hospital Petaling Jaya bagi memastikan penduduk setempat mendapat akses kesihatan lebih menyeluruh.
“Memang Kerajaan Negeri cuba bawa cadangan hendak tambah hospital Petaling Jaya kerana Petaling Jaya merupakan kawasan populasi agak tinggi, dan sehingga kini belum mempunyai hospital kerajaan.
“Kita ada banyak hospital swasta tapi belum mempunyai hospital kerajaan. Jadi itu adalah satu orang kata malamat Kerajaan Negeri pada masa yang akan datang,” katanya lagi.
Jumaat lepas, Anwar mengumumkan peruntukkan RM170 juta bagi mengatasi isu kesesakan di hospital awam dan memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan negara.
Susulan itu projek pembinaan dan naik taraf kemudahan kesihatan akan dilaksana termasuk di Hospital Banting dan Sungai Buloh.
Lokasi lain turut babitkan Pusat Kanser Wilayah Utara di Kedah, Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II dan Hospital Pakar USM, Kubang Kerian Kelantan.