SHAH ALAM, 7 JUN: Seramai 15 penerima DUN Pandan Indah menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM113,500 bagi membantu keperluan kewangan serta pelaksanaan program masing-masing.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah Ir Izham Hashim berkata penerima terdiri daripada wakil komuniti, hospital, surau, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.
"Alhamdullilah, dalam kesibukan menyambut Aidiladha dan beberapa program rasmi, saya berkesempatan menyampaikan sumbangan kemasyarakatan kepada wakil komuniti, hospital, surau, sekolah, NGO dan individu dalam DUN Pandan Indah," katanya di Facebook.
Beliau berkata bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban penerima selain menyokong pelbagai usaha pembangunan masyarakat setempat.
"Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung serta menyokong usaha pelbagai pihak dalam melaksanakan aktiviti kebajikan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan masyarakat demi manfaat penduduk setempat," tambahnya.
Izham turut menegaskan komitmennya untuk terus memastikan kebajikan rakyat di DUN Pandan Indah sentiasa diberi perhatian.
"Insya-Allah, saya akan terus komited memastikan kebajikan rakyat di DUN Pandan Indah sentiasa diberi perhatian agar manfaat pembangunan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, selaras dengan prinsip Rahmah Untuk Semua," katanya.








