RS-2 tumpu tingkat hasil padi, perkukuh keterjaminan makanan negeri

4 Jun 2026, 12:00 PM
RS-2 tumpu tingkat hasil  padi, perkukuh keterjaminan makanan negeri
RS-2 tumpu tingkat hasil  padi, perkukuh keterjaminan makanan negeri
RS-2 tumpu tingkat hasil  padi, perkukuh keterjaminan makanan negeri

TANJUNG KARANG, 4 JUN: Peningkatan produktiviti hasil tanaman padi menjadi antara fokus utama dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi memperkukuh sektor pertanian serta keterjaminan makanan negeri.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato' Ir Izham Hashim berkata Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan awal bersama semua pihak berkepentingan, selain merancang beberapa mesyuarat susulan dalam tempoh terdekat.

“Memang ada dalam RS-2. Pada peringkat awal, kita sudah mengadakan perbincangan bersama dan akan meneruskan dua atau tiga lagi sesi penelitian bagi memastikan kaedah yang dibawa nanti benar-benar memberi kesan positif kepada sektor tanaman padi,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Jentera Pertanian kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor di Pusat Pengeluaran Benih Padi PPNS, Sungai Burong, di sini hari ini.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berucap dalam Majlis Penyerahan Jentera Pertanian Kepada Pertubuhan Peladang Selangor di Pusat Pengeluaran Benih Padi PPN Selangor, Sungai Burong, Tanjong Karang pada 4 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dalam perkembangan sama, Izham berkata sektor penanaman padi sering berdepan pelbagai cabaran kerana ia dikategorikan sebagai amalan monokultur, iaitu penanaman satu jenis tanaman secara berterusan di kawasan yang sama.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan tanaman padi lebih terdedah kepada masalah seperti kemerosotan kesuburan tanah dan serangan penyakit.

Menurutnya, penggunaan teknologi moden yang semakin berkembang ketika ini mampu membantu meningkatkan produktiviti tanaman serta menambah baik hasil pengeluaran makanan ruji negara itu.

“Padi ialah tanaman monokultur. Apabila ditanam secara berulang-ulang, ia terdedah kepada pelbagai isu termasuk kesuburan tanah dan penyakit.

“Pendekatannya perlu menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada aspek racun atau baja semata-mata. Saya yakin dengan teknologi sedia ada, termasuk amalan yang berjaya dilaksanakan di Indonesia, kita boleh menjadikannya panduan untuk meningkatkan produktiviti padi,” katanya.

Tahun lalu, Selangor diumumkan sebagai negeri perintis kajian penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun (5M2T) menerusi projek percubaan di Sawah Sempadan, Kuala Selangor.

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), kajian bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta IADA Barat Laut Selangor itu dilaksanakan antara 2015 hingga 2017 melibatkan kawasan seluas 214.9 hektar dengan penyertaan 141 pesawah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.