KUALA LANGAT, 11 OKT: Selangor menerima tambahan RM890 juta menerusi Belanjawan 2026 bagi meneruskan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 2.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata peruntukan berkenaan mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap ikhtiar Selangor memperkukuh sistem tebatan dan pengurusan sungai secara menyeluruh.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan kerana memberi pertimbangan untuk meluluskan peruntukan tambahan RM890 juta bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri ini.
Kerajaan Negeri juga sentiasa memantau kemajuan projek-projek tebatan banjir di Selangor supaya kita dapat meminimumkan impaknya kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia (HSS) di Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, di sini, hari ini.
Beliau turut berharap komitmen sama diteruskan bagi projek lain termasuk RTB Sungai Langat Fasa 2 di Hulu Langat dan Kuala Langat, yang masih memerlukan pelaksanaan menyeluruh agar sistem pengurusan sungai dan tebatan banjir dapat berfungsi dengan lebih berkesan.
“Sebahagian RTB Sungai Langat Fasa 2 masih belum dilengkapkan di daerah Hulu Langat, justeru pelaksanaannya perlu disegerakan bagi memastikan pengurusan sungai dan sistem tebatan banjir dapat berfungsi secara menyeluruh,” jelasnya.
Semalam, Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2026 mengumumkan peruntukan RM2.2 bilion bagi meneruskan pelaksanaan 43 projek RTB berkeutamaan tinggi, termasuk RTB Sungai Buloh Fasa 2.
Selain itu, sebanyak RM260 juta turut diperuntuk bagi kerja pencegahan, penyelenggaraan dan pembaikan cerun di seluruh negara termasuk di Jalan Persekutuan, bagi mengurangkan risiko bencana serta memastikan infrastruktur awam kekal selamat.


