KUALA LUMPUR, 10 OKT: Pempamer yang menyertai Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) akan dibawa menyertai jelajah pencarian kerja pada tahun depan.
EXCO Sumber Manusia, V. Papparaidu berkata inisiatif itu bertujuan menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Selangor selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri.
“Sebelum ini memang ada perbincangan untuk melibatkan syarikat aeroangkasa dalam jelajah Jobcare kerana industri ini mampu menawarkan gaji yang tinggi.
“Oleh itu, kita akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Invest Selangor bagi memastikan syarikat yang menyertai sidang kali ini turut serta dalam jelajah tersebut pada tahun hadapan,” katanya selepas menghadiri sesi dialog pada Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor, hari ini.
Berucap sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Papparaidu turut mengingatkan pelajar agar merebut peluang mendalami industri aeroangkasa.
“Industri aeroangkasa ini merangkumi pelbagai bidang dan peluang seperti ini sukar diperoleh kerana sidang ini disertai puluhan syarikat antarabangsa,” katanya.
Jelajah Jobcare yang dijalankan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merupakan inisiatif Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) di bawah Jawatankuasa Pemberdayaan Pekerja.
Program itu memberi tumpuan kepada membantu golongan B40 yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 untuk mendapatkan sumber pendapatan alternatif dan peluang kerja baharu.
Baru-baru ini, Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan lebih 6,000 kekosongan pekerjaan melibatkan pelbagai bidang.