ad

Program pemecut AI makan masa, syarikat pemula dinasihat pilih dengan bijak

12 Okt 2025, 4:00 AM
Program pemecut AI makan masa, syarikat pemula dinasihat pilih dengan bijak

KUALA LUMPUR, 12 Okt: Program pemecut sememangnya dapat membantu syarikat pemula memperkemas produk dan memperkukuh pembentangan kepada pelabur, namun penyertaannya memerlukan komitmen masa yang besar dan perlu dipertimbangkan dengan teliti, kata pengurus dana.

Bercakap pada forum “Betting on AI” sempena Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur semalam, rakan kongsi syarikat GenAI, Kang Kai Yong, menasihatkan pengasas syarikat pemula supaya realistik dalam menentukan keutamaan sebelum menyertai mana-mana program pemecut.

“Masa pengasas sangat berharga, dan program sebegini menuntut komitmen tinggi. Ada syarikat yang terlalu teruja hingga memohon ke pelbagai program dan akhirnya menyertai empat atau lima program dalam setahun.

“Jika terlalu sibuk melayan pelanggan, mereka tidak akan sempat menumpukan sepenuhnya kepada program tersebut,” katanya pada forum di adakan di Grand Hyatt Kuala Lumpur, dianjurkan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Antara panel lain yang turut serta ialah Rakan Pengurusan The Hive Datuk Syed Haizam, rakan kongsi 500 Global Shahril Ibrahim, dan Penolong Pengurus AppWorks Nathan Alexander.

Program pemecut merupakan inisiatif terancang dalam tempoh masa tertentu bagi membantu syarikat baharu berkembang pesat melalui pembiayaan awal, bimbingan mentor, rangkaian pelabur serta latihan pembangunan perniagaan.

Syed bersetuju dengan pandangan Kang, sambil menekankan bahawa pemula perlu lebih berhati-hati dalam memilih rakan strategik bagi program yang ingin disertai.

“Kadangkala kita lihat syarikat menyertai tiga atau empat program berbeza, dan kita mula tertanya-tanya ke mana sebenarnya mereka mahu pergi,” katanya.

Sementara itu, Shahril berkata meskipun penyertaan dalam program pemecut dianggap “lencana pencapaian” yang baik, pelabur modal teroka lebih menilai kepakaran bidang serta kemampuan syarikat memahami dan memenuhi keperluan pasaran sasaran mereka.

Dalam sesi sama, panel turut bersetuju bahawa Malaysia memiliki kelebihan asas untuk cemerlang dalam bidang kecerdasan buatan (AI) berikutan industri yang kaya dengan data.

Shahril berkata negara mempunyai “parit data” (data moats) tersendiri yang boleh dimanfaatkan dan berpotensi untuk dilaburkan.

“Kita tidak perlu membina ChatGPT versi Malaysia. Peluang sebenar terletak pada sektor di mana kita mempunyai kelebihan data - seperti pertanian, kelapa sawit dan logistik. Itulah kelebihan yang tidak dimiliki pihak lain,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa “AI bukan sekadar tontonan”, sebaliknya pemain tempatan perlu berani berinteraksi dan mengintegrasikannya dalam kerja seharian.

Nathan pula menyifatkan Malaysia sebagai pasaran pertama yang kukuh untuk penerimaan AI, berikutan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi serta kesediaan pengguna membayar untuk penyelesaian digital.

“Cabaran utama Malaysia ialah saiz pasaran, namun dengan AI, kita boleh menjual ke seluruh dunia,” katanya sambil menasihatkan syarikat tempatan agar tidak menghadkan diri hanya kepada pasaran domestik.