ad

6,000 peluang kerja ditawar di Karnival Jobcare Istimewa Selangor

6 Okt 2025, 8:19 AM
6,000 peluang kerja ditawar di Karnival Jobcare Istimewa Selangor
6,000 peluang kerja ditawar di Karnival Jobcare Istimewa Selangor

SHAH ALAM, 6 OKT: Sebanyak 6,000 kekosongan pekerjaan ditawarkan di Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

EXCO Sumber Manusia V.Papparaidu berkata daripada jumlah itu,70 peratus kekosongan itu menawarkan gaji melebihi RM2,500.

“Sebanyak 40 majikan terlibat dalam karnival ini dengan tawarkan gaji lebih tinggi membabitkan pelbagai sektor termasuk logistik dan perkapalan selain 75 peratus majikan yang beroperasi dalam Selangor.

“Ini adalah sasaran kita yang mana selain menyediakan peluang pekerjaan, mereka juga dapat menikmati gaji lebih tinggi sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya selepas merasmikan karnival tersebut.

Terdahulu, karnival bermula seawal jam 8 pagi itu, selain menawarkan pekerjaan pada lepasan graduan, ia juga terbuka kepada golongan orang kurang upaya, bekas banduan dan warga emas.

Dalam pada itu, Papparaidu memaklumkan pihaknya juga kini akan memfokuskan peluang pekerjaan dalam industri semikonduktor khususnya pembangunan reka bentuk litar bersepadu (IC).

“Kita akan fokuskan industri ini dan bekerjasama dengan EXCO Pelaburan Ng Sze Han supaya dapat memberi peluang kepada warga Malaysia khususnya di Selangor.

“Dengan adanya peluang ini selain dapat tawar pekerjaan lebih baik dan gaji lebih RM8,000 ia juga kurangkan kebergantungan negara lain antaranya Singapura,” ujarnya.