KUALA LUMPUR, 10 OKT: Kerajaan Negeri membawa visi bagi meletakkan Selangor sebagai hab penjagaan rantau Asia-Pasifik bagi membangunkan ekosistem ekonomi penjagaan menyeluruh yang memenuhi keperluan setiap generasi.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari berkata pelaksanaan sasaran visi itu seiring dengan kedudukan Selangor menjadi destinasi pilihan bagi penjagaan kesihatan, kesejahteraan, dan pelancongan persaraan.
“Untuk mencapainya, Selangor akan memberi keutamaan kepada infrastruktur penjagaan moden dan inklusif yang menyediakan fasiliti berkualiti tinggi untuk jagaan kanak-kanak, warga emas, pemulihan dan kehidupan dibantu.
“Selain itu, negeri juga akan menyediakan perkhidmatan penjagaan profesional yang terdiri daripada penjaga terlatih, penyampaian perkhidmatan yang piawai, serta laluan kerjaya yang jelas.
“Selain itu, visi menetapkan untuk mencipta inovasi dan pelaburan bagi menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan penjagaan, termasuk teknologi sokongan, platform kesihatan digital dan perkhidmatan berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Amirudin menambah ekonomi penjagaan berpotensi menjana pulangan ekonomi dan sosial selain mewujudkan tiga kali ganda lebih banyak peluang pekerjaan berbanding sektor binaan atau sektor berintensif modal lain.
“Pelaburan dalam penjagaan bukanlah kerja kebajikan. Ia adalah strategi ekonomi. Setiap ringgit yang dilaburkan dalam penjagaan menghasilkan pulangan — dalam bentuk pekerjaan, produktiviti, dan kestabilan sosial.
“Pelaburan penjagaan mewujudkan pekerjaan tempatan dan lestari, khususnya untuk wanita dan belia. Ia membolehkan lebih ramai rakyat menyertai tenaga kerja, meningkatkan pendapatan isi rumah, dan mengukuhkan asas cukai negara,” ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, bagi memastikan visi ini menjadi realiti, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Selangor Care Network iaitu sebuah platform penyelarasan yang menghimpunkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, dan masyarakat sivil.
“Kita akan bekerjasama rapat dengan kementerian persekutuan dan rakan-rakan dari TransformCare Asia-Pacific Initiative untuk menyelaraskan usaha Selangor dengan keutamaan nasional dan serantau.
“Selangor menyasarkan untuk menjadi hab pembelajaran inovasi penjagaan — menguji model yang boleh memaklumkan sistem penjagaan nasional Malaysia dan berkongsi bersama rakan Asean,” jelasnya.