ad

Selangor seimbangkan kemajuan dan warisan, lahir masyarakat beradab

29 Okt 2025, 4:58 AM
Selangor seimbangkan kemajuan dan warisan, lahir masyarakat beradab
Selangor seimbangkan kemajuan dan warisan, lahir masyarakat beradab

SERDANG, 29 OKT: Selangor bukan sahaja mahu dikenali sebagai negeri maju, tetapi sebagai negeri beradab dan berfikir tanpa mengetepikan warisan budaya yang menjadi asas pembentukan tamadun.

Dato’ Menteri Besar berkata Selangor sentiasa berusaha menyeimbangkan kemajuan ekonomi dengan kualiti hidup rakyat, sambil memastikan pembangunan berpaksikan adab, hikmah dan nilai.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, komitmen itu dizahirkan melalui pelbagai dasar termasuk pembangunan negeri pintar berasaskan teknologi serta program pemuliharaan seni dan budaya seperti terjemahan kitab warisan.

“Kemajuan tidak boleh dipisahkan daripada akar budaya. Kita memperkukuh warisan bukan untuk memuja masa silam, tetapi menyiapkan bangsa menghadapi masa depan dengan jati diri utuh.

“Selangor sedang mengangkat warisan sebagai modal ilmu dan modal insan. Tugas besar kita hari ini ialah mengkomunikasikannya kepada generasi yang hidup dalam dunia algoritma dan media sosial.

“Warisan mesti menembusi ruang digital dan menjadi naratif relevan di TikTok, galeri maya, filem serta seni visual,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Antarabangsa Komunikasi Warisan bertema Khazanah Warisan, Cerminan Peradaban Bangsa di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Sementara itu, Amirudin ketika ditemui selepas majlis berkata, simposium berkenaan mengetengahkan pelbagai bentuk komunikasi warisan, bukan sekadar sastera lisan seperti pantun, bahkan merangkumi seni budaya, tarian dan fabrik tradisional termasuk telepuk serta kelingkan.

“Sama ada makanan, tarian, persembahan kebudayaan atau seni fabrik, semuanya menjadi asas kepada cita-cita PADAT (Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor) supaya adat ini dapat diwartakan sebagai warisan masa hadapan serta terus dikembangkan dalam kalangan masyarakat kini dan generasi akan datang,” katanya.