ad

Selangor–Korea jalin kerjasama sedia peranti AI lindungi warga emas di pusat jagaan

10 Okt 2025, 6:23 AM
Selangor–Korea jalin kerjasama sedia peranti AI lindungi warga emas di pusat jagaan

KUALA LUMPUR, 10 OKT : Selangor menerusi Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) menjalin Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat teknologi terkemuka Korea, UNIUNI, pada Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS).

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata, kerjasama itu membabitkan penyediaan peranti keselamatan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk warga emas di pusat jagaan, dengan turut melibatkan penyertaan syarikat tempatan Hayat Technologies Sdn Bhd.

Jelasnya, UNIUNI akan menyediakan peranti yang menggunakan sistem deria inframerah dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan situasi berbahaya jika berlaku pada warga emas di pusat jagaan.

“Menerusi Yawas, mereka akan menyenaraikan 100 pusat jagaan warga emas akan diberi peranti bermula hujung tahun ini selepas selesai ujian keselamatan SIRIM.

“Warga emas dipilih kerana kumpulan ini kerap terjatuh dan alami kecederaan ketika bersendirian, jadi kita fokus pusat jagaan warga emas supaya dapat mengelakkan kecederaan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan pertukaran MoU bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada SICS sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas UNIUNI, Clara Han dan Ketua Pegawai Operasi Hayat Technologies Sdn Bhd, Muttaqqin Eshamuddin.

Tambah Anfaal lagi, kerjasama itu adalah teras keempat Dasar Ekonomi Penjagaan iaitu Pelaburan dan Kerjasama, selain tiga teras lain termasuk Advokasi dan Promosi, Tatakelola dan Kawal Selia, Penjaga Terlatih dan Tenaga Kerja serta Inovasi, Teknologi, dan Data.

“Kerjasama ini termasuk pelaksanaan Program Global K-INNO, inisiatif yang disokong Kerajaan Korea Selatan. Program ini direka bentuk untuk memupuk pertumbuhan ekosistem inovasi negara dengan menyokong perintis teknologi berimpak tinggi dan membolehkan pertukaran pengetahuan antara negara.

“Melalui perkongsian ini, Selangor bakal mendapat manfaat daripada kemajuan Korea dalam inovasi berkaitan penjagaan dan menyumbang kepada kepimpinan serantau dalam penjagaan didorong teknologi inklusif,” katanya.