ad

Selangor anjur SICS 2025, kukuh peranan sebagai hab penjagaan Asia-Pasifik

10 Okt 2025, 5:48 AM
Selangor anjur SICS 2025, kukuh peranan sebagai hab penjagaan Asia-Pasifik

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Kerajaan Negeri buat kali pertama menganjurkan Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai langkah penting merealisasikan visi menjadikan Selangor sebagai Hab Penjagaan Rantau Asia-Pasifik.

Menampilkan empat komponen utama iaitu Sesi Townhall Penjagaan, Forum Penjagaan, Padanan Perniagaan Prihatin dan Ekspo Penjagaan melibatkan penyertaan daripada 54 pempamer termasuk daripada luar negara seperti Finland, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Australia serta India.

54 pempamer mengetengahkan pelbagai produk, kemahiran dan teknologi penjagaan inovatif yang menonjolkan potensi perniagaan dalam ekonomi penjagaan yang semakin berkembang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari berkata penganjuran SIBS tahun ini menampilkan kelainan dengan menggabungkan elemen Selangor Aviation Summit (SAS) bersama SICS.

Amirudin menambah pihaknya turut menyasarkan kehadiran lebih 3,000 pengunjung dengan kehadiran 1,100 peserta telah direkodkan pada hari pertama.

“Dua juzuk ekonomi (ekonomi penjagaan, penerbangan) yang sebelum ini dibuat secara berasingan namun negeri kembangkan menjadi satu ekosistem yang komprehensif di SIBS ini pada pembentangan Belanjawan 2025 lepas.

“Kehadiran sangat baik di hari pertama telah mencecah lebih 1,100 orang, sasaran kita lebih 3,000 sehingga esok,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian SICS.

Pada majlis sama, Amirudin turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dan syarikat UNIUNI dari Korea Selatan bagi membantu penjagaan warga emas melalui teknologi baharu.

Dato’ Menteri Besar turut percaya Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2024–2030 (DEPNS) yang telah dilancarkan mampu mengembangkan ekonomi penjagaan negeri menjadi ekosistem yang kukuh dan mencipta nilai ekonomi lebih baik.

“Melalui pameran SICS, Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah mengeluarkan satu garis panduan setelah melalui beberapa libat urus dan perbicangan berkumpulan.

“Saya percaya ia akan membantu untuk membentuk polisi yang luar biasa yang membantu mengukuhkan ekonomi penjagaan di Selangor,” katanya lagi.