KUALA LUMPUR, 10 OKT: Ekonomi penjagaan akan dijadikan sebahagian daripada sektor perkhidmatan selepas dilihat memiliki potensi tinggi dalam menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata sektor perkhidmatan yang lebih melopori aspek kesihatan dan hospitaliti selain perhotelan dan pelancongan perlu diperluas sekali gus mengekalkan Selangor sebagai nadi penggerak ekonomi.
“Ekonomi penjagaan boleh meningkatkan KDNK dan kekalkan kedudukan Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi. Ini juga merupakan pesanan Dato’ Menteri Besar berkaitan sektor ini untuk beri pulangan ekonomi.
“Apabila kita realisasikan hasrat ini, kita visual kan nilai ekonomi yang boleh diukur, akan mengukuhkan lagi Selangor sebagai negeri makmur dari segi infrastruktur, elektronik, semikonduktor dan perkhidmatan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 disempurnakan Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Anfaal berkata segala pendapat dan pandangan yang dikongsi penggiat industri akan diberi perhatian khusus bagi menambah baik sidang akan datang.
“Banyak idea dan suara yang boleh digarap untuk kita ambil tindakan menyeluruh. Ada juga bersifat sederhana dan panjang, yang memerlukan kerjasama baik dengan pelbagai pihak,” katanya.
SICS yang julung kali diadakan itu menampilkan empat komponen utama iaitu sesi libat urus penjagaan, forum, padanan perniagaan prihatin dan ekspo penjagaan yang melibatkan 54 pempamer termasuk negara daripada luar negara antaranya Finland, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Australia serta India.
Sepanjang berlangsung tiga hari mulai semalam hingga esok, SICS yakin mampu menarik lebih 3,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan universiti