KUALA LUMPUR, 11 Okt: Malaysia sedang memperkukuh sektor ekonomi penjagaan melalui tiga tumpuan utama, termasuk usaha menjadikannya lebih mampu milik dan mudah diakses rakyat.
Kerajaan turut berhasrat memperluas infrastruktur penjagaan melalui kerjasama pelbagai pihak serta memacu inovasi digital dan sosial bagi menjadikan sektor itu sebagai salah satu tonggak strategik pertumbuhan negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata pendekatan tersebut bertujuan membiayai sektor penjagaan dengan cara yang mampan dari segi fiskal, inklusif dari segi sosial dan lestari terhadap alam sekitar, selaras dengan agenda Ekonomi Madani dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal diperkenalkan.
“Pembiayaan untuk penjagaan bukanlah satu bentuk kebajikan, tetapi pembangunan negara. Ia merupakan antara pelaburan paling bijak dan strategik untuk masa depan Malaysia,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Program tersebut diadakan bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang melabuhkan tirai hari ini.
Lim berkata Malaysia telah menjadi negara menua sejak 2020 dan dijangka menjadi negara tua menjelang 2044, apabila seorang daripada lima rakyat akan berusia 65 tahun ke atas.
Perbandaran pesat serta peningkatan isi rumah dwi pendapatan turut mendorong permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan warga emas yang lebih berpatutan dan boleh dipercayai.
Tiga tumpuan utama ekonomi penjagaan

Bagi tumpuan pertama, kerajaan akan memperkukuh langkah bagi menjadikan penjagaan formal lebih mudah diakses, termasuk dengan memperluas pelepasan cukai penjagaan kanak-kanak, menyediakan insentif lebih kukuh kepada majikan yang menyokong kemudahan penjagaan, serta menyalurkan bantuan bersasar kepada ibu atau bapa tunggal, pekerja sektor tidak formal dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Lim berkata, instrumen fiskal juga akan diteroka untuk menggalakkan penyedia perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan warga emas berdaftar secara rasmi bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan menjamin keadaan kerja yang wajar untuk penjaga.
Tumpuan kedua pula melibatkan pembangunan kerjasama dan infrastruktur melalui jalinan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, pelabur swasta serta perusahaan sosial bagi memperluas kemudahan penjagaan berasaskan komuniti.
Katanya, usaha ini amat penting di kawasan bandar pesat seperti Shah Alam, Petaling Jaya dan Klang.
Lim turut menambah bahawa Selangor dijadikan contoh menerusi Pelan Induk Ekonomi Impak Sosial Negeri Selangor yang menggabungkan infrastruktur penjagaan dalam kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), sekali gus menggalakkan pemaju dan majikan menjadikan penjagaan sebagai sebahagian daripada amalan perniagaan lestari.
“Selangor menunjukkan kepimpinan dengan menjadikan penjagaan sebagai komponen utama dalam agenda ESG — satu model yang boleh menjadi inspirasi kepada negeri lain,” katanya.
Akhir sekali, tumpuan ketiga melibatkan integrasi inovasi digital melalui inisiatif kerajaan bagi memformalkan sektor penjagaan, meningkatkan ketelusan serta mewujudkan laluan kerjaya profesional untuk penjaga, kebanyakannya wanita.
“Platform digital akan menghubungkan penjaga, pusat latihan dan majikan dalam satu ekosistem untuk memformalkan sektor ini, meningkatkan piawaian serta membina laluan kerjaya penjagaan yang profesional,” jelasnya.
Tingkat penyertaan wanita dalam tenaga kerja
Lim berkata pemformalan sektor penjagaan mampu meningkatkan produktiviti ekonomi dan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

Peningkatan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja daripada 56 kepada 60 peratus, katanya, boleh menambah kira-kira RM60 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia setiap tahun, dengan syarat wujud kemudahan penjagaan yang mudah diakses dan boleh dipercayai.
Secara global, sektor ekonomi penjagaan dianggarkan bernilai lebih AS$6 trilion (RM23.35 trilion), lebih besar daripada sektor pembuatan atau pembinaan, menjadikan ia antara industri yang paling pesat berkembang serta berdaya tahan di dunia.
“Angka ini mengingatkan kita bahawa penjagaan bukan hanya tentang belas kasihan, tetapi juga tentang produktiviti. Apabila sistem penjagaan gagal, produktiviti merosot; apabila ia berfungsi, ekonomi berkembang,” katanya.
Lim turut memaklumkan bahawa Malaysia kini meneroka kaedah pembiayaan baharu seperti bon sosial dan hijau, pembiayaan campuran serta rangka kerja pelaburan ESG berasaskan penjagaan bagi menggerakkan modal awam dan swasta untuk projek yang memberikan pulangan sosial dan ekonomi yang nyata.
“Apabila Malaysia melabur dalam penjagaan, kita melabur dalam rakyat, dalam keluarga yang sejahtera, tenaga kerja yang produktif dan negara yang menua dengan bermaruah serta yakin,” ujarnya.
“Penjagaan bukanlah kos untuk dikawal, tetapi aset untuk dibiayai, hak untuk dijamin dan laluan menuju kemakmuran,” katanya.


