PUTRAJAYA, 10 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan langkah pencegahan dan kawalan penularan Penyakit Seperti Influenza (ILI) di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian itu dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata langkah yang telah dan sedang dilaksanakan adalah menerusi surat pemakluman berhubung garis panduan pencegahan penularan jangkitan ILI sebagai panduan kepada semua pentadbir institusi untuk mengurus situasi itu secara teratur dan berkesan.
Beliau berkata surat peringatan berhubung pemakluman berkenaan juga telah diedarkan kepada semua institusi pendidikan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pada 6 Okt lepas.
"KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Bahagian Kawalan Penyakit sedang memantau secara dekat penularan ILI bagi memastikan kesihatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata antara langkah digariskan ialah menasihati warga institusi yang bergejala supaya segera mendapatkan rawatan perubatan selain memastikan murid bergejala yang tinggal di asrama diasingkan di bilik sakit sementara menunggu ibu bapa atau penjaga menjemput mereka pulang.
Selain itu, beliau berkata murid bergejala dinasihatkan supaya berehat di rumah atau asrama serta mengelak berada di kawasan sesak.
Beliau berkata semua warga institusi turut disarankan memakai pelitup muka ketika berinteraksi dengan orang lain atau berada di tempat awam.
Langkah lain, katanya mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan dalam kalangan warga institusi pendidikan dan memberi kefahaman kepada ibu bapa dan penjaga mengenai peranan mereka dalam mencegah penularan ILI di institusi pendidikan dan untuk peka terhadap keadaan kesihatan anak-anak.
Mohd Azam berkata seluruh warga pendidikan turut diingatkan untuk memastikan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan.
KKM semalam memaklumkan sebanyak 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.