ad

Geopolitik, teknologi antara fokus utama pastikan hubungan Asean lebih kukuh

10 Okt 2025, 1:31 AM
Geopolitik, teknologi antara fokus utama pastikan hubungan Asean lebih kukuh

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Sektor geopolitik dan teknologi antara fokus utama yang perlu diberi keutamaan bagi memastikan hubungan Asean terus kukuh, kata EXCO Pelaburan Ng Sze Han.

Beliau berkata, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta perubahan landskap perdagangan global ketika ini menuntut negara anggota Asean memperkukuh kerjasama rentas sempadan dan meningkatkan keupayaan digital.

“Perbincangan Asean menekankan pertumbuhan hubungan lebih kukuh dengan mempertingkat infrastruktur rentas sempadan, penggunaan sistem digital serta memperkemas proses perdagangan.

“Langkah ini dapat memastikan kedudukan kita dalam rantaian bekalan global. Kita perlu membina ekonomi yang berdaya tahan dan terus memperkukuh kerjasama serantau,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Sidang Kemuncak Perniagaan Asean Selangor (SABC) 2025, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato' Hasan Azhari Idris bergambar bersama rakan strategik sempena majlis Peluncuran Garis Panduan Tatacara dan Pertukaran Memorandum Persefahaman Perlaksanaan Projek Kerjasama Awam - Swasta di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Ucapan berkenaan disampaikan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 yang berlangsung selama empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula kelmarin.

Pada masa sama, Sze Han yang juga EXCO Mobiliti menegaskan bahawa generasi muda memainkan peranan penting dalam memastikan rantau Asean terus berkembang secara mampan.

“Komuniti Asean yang terdiri daripada golongan belia, usahawan dan penginovasi adalah satu kelebihan.

“Kreativiti mereka akan membentuk industri berdaya maju sekali gus memastikan rantau ini berkembang secara inklusif dan lestari,” ujarnya.

Malaysia menjadi tuan rumah Sambutan Hari Asean sempena ulang tahun ke-58 penubuhan pertubuhan serantau itu.

Menurut Kementerian Luar, sambutan bertemakan “Ke Arah Masa Depan Asean yang Inklusif dan Mampan” selari dengan tema Kepengerusian Asean-Malaysia iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”.