ad

Kualiti 60 peratus air sungai di Selangor meningkat hasil pemulihan

9 Okt 2025, 12:22 PM
Kualiti 60 peratus air sungai di Selangor meningkat hasil pemulihan
Kualiti 60 peratus air sungai di Selangor meningkat hasil pemulihan
Kualiti 60 peratus air sungai di Selangor meningkat hasil pemulihan

KUALA LUMPUR, 9 OKT: 60 peratus air sungai berubah kualiti daripada kelas 4 kepada kelas lebih baik iaitu kelas 3 selepas pemulihan dilaksana Kerajaan Negeri dengan belanja RM3 juta setahun, kata ketua penolong pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Haslina Amer menjelaskan kelas 4 air sungai kualitinya teruk dan hanya boleh digunakan untuk tujuan pengairan sahaja, sementara kelas 3 sumber airnya dibolehkan untuk rekreasi dan tujuan lain yang memerlukan air bersih lebih tinggi.

“Sehingga kini ada 16 sungai terlibat, dan proses pemulihan bermula di anak sungai antaranya Sungai Gong, Sungai Sembah, Sungai Damansara, Sungai Langat dan Sungai Semenyih. Teknik digunakan termasuk bioremediasi,” katanya ketika sesi perkongsian di Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Penolong Pengarah LUAS Haslina Amer ketika sesi perkongsian Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) ke arah pengurusan sumber air lestari di Selangor pada Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sesi perkongsian berkaitan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) ke arah pengurusan sumber air lestari di Selangor itu turut dilaksana sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS).

Tambah Haslina, Sungai Gong di Rawang salah satu projek perintis bioremediasi berjaya dilaksana LUAS pada 2021 sejauh 5.6 kilometer dengan belanja RM2.4 juta.

“Sehingga kini tiada lagi kejadian henti tugas loji disebabkan aktiviti pencemaran di kawasan sungai berkenaan,” katanya.