SHAH ALAM, 24 SEPT: Modul latihan penjagaan Selangor dijangka dimuktamadkan pertengahan hingga suku ketiga tahun depan dengan menyasar penjaga keluarga dan profesional.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata pembangunan modul komprehensif bersama The Asia Foundation itu akan dimulakan dengan pemetaan data sebelum kandungan latihan dibangunkan mengikut beberapa kategori penjagaan.
Jelasnya, kategori itu merangkumi aspek emosi, fizikal dan mental bagi memastikan modul dibangunkan memenuhi keperluan sebenar sektor penjagaan, termasuk elemen kemahiran, pengetahuan serta kompetensi yang diperlukan penjaga.
“Modul latihan penjagaan itu kini di peringkat perbincangan dan kita akan pecah kepada tiga fasa. Yang pertama kita akan buat pemetaan dulu.
“Selepas itu kita drafkan merangkumi beberapa kategori termasuk penjagaan dari sudut emosi, fizikal, mental dan akhirnya boleh diguna pakai,” katanya kepada Media Selangor.
Anfaal menjelaskan, modul yang boleh diakses secara dalam talian itu turut menumpukan penjaga yang mengurus ahli keluarga di rumah termasuk warga emas dan orang kurang upaya, manakala latihan berbentuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pula menyasar individu yang mahu menjadi penjaga profesional.
“Bagi modul latihan penjagaan itu boleh diakses secara dalam talian contohnya menerusi format video mengenai pelbagai topik berkaitan yang mana kita sasarkan penjaga-penjaga keluarga. Maknanya penjaga yang bukan di rumah penjagaan atau profesional.
“Bagi latihan profesional, peserta yang mengikuti kursus berkenaan akan dilatih untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan secara profesional di rumah warga emas atau secara one-to-one di kediaman persendirian.
“Dia dah belajar, dia dah graduate (tamat pengajian), dia boleh laksanakan khidmat itu secara profesional di rumah-rumah warga emas ataupun 'one-to-one service' di rumah-rumah peribadi,” katanya.
Beliau berkata kerjasama dengan Universiti Selangor (UNISEL) turut dipertimbangkan bagi membolehkan modul tersebut ditawarkan sebagai program pensijilan atau diploma, bergantung kepada kesesuaian.
Sebelum ini, Anfaal berkata, program latihan penjagaan Selangor akan dibangunkan tiga fasa menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Wanita Berdaya Selangor dan The Asia Foundation.
Fasa satu melibatkan pembangunan silibus dan modul, pendigitalan modul dan pelaksanaan projek rintis latihan (fasa dua) serta pemurnian kurikulum bagi pensijilan profesional (fasa tiga).
Pemurnian kurikulum dibuat melalui jawatankuasa panel pakar yang bertanggungjawab menyemak, memurnikan dan mengesahkan setiap input modul agar selari dengan peraturan serta keperluan industri semasa.








