ad

MPAJ juara Anugerah Geospatial Kebangsaan 2025

9 Okt 2025, 3:51 AM
MPAJ juara Anugerah Geospatial Kebangsaan 2025

MPAJ juara Anugerah Geospatial Kebangsaan 2025

PUTRAJAYA, 9 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sekali lagi mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara Anugerah Geospatial Kebangsaan (NGA) 2025 bagi kategori Kerajaan Negeri sempena Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan (NGIS) ke-10 di sini.

Kemenangan itu mengiktiraf keupayaan MPAJ memperkasa penggunaan teknologi geospatial bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan, perancangan bandar pintar dan pengurusan pembangunan mampan di Ampang Jaya.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut hadir Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo Kim dan Pengarah Pusat Geospatial Negara (PGN) Ts Rusliza Hanim Maarif.

Hadiah kemenangan diterima Timbalan Yang Dipertua MPAJ Ts Hj Hasrolnizam Shaari bersama Pengarah Jabatan Korporat dan Teknologi Maklumat Pn Rosliza Mohd serta pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan termasuk Jabatan Kejuruteraan yang menjadi tulang belakang kejayaan inovasi geospatial tersebut.

Kejayaan itu mengulangi detik gemilang tahun 2018 sekali gus membuktikan komitmen MPAJ sebagai perintis bandar digital berdaya huni seiring hasrat Kerajaan Negeri Selangor dalam tadbir urus pintar dan berteknologi tinggi.