ad

Kutu parkir disekat, PBT perkasa operasi, teknologi pantau

8 Okt 2025, 3:17 AM
Kutu parkir disekat, PBT perkasa operasi, teknologi pantau

SHAH ALAM, 8 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil langkah tegas menangani isu pengutip bayaran letak kereta haram atau lebih dikenali sebagai ‘kutu parkir’ yang berleluasa di kawasan tumpuan awam di bandar utama.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Sabak Bernam di Dewan Rakyat, kementerian dalam jawapan bertulis Parlimen semalam, menyatakan aktiviti kutu parkir adalah satu bentuk pelanggaran undang-undang yang menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya serta menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan tempatan.

“Operasi khas dan rondaan berterusan telah digiatkan di lokasi panas hasil aduan orang ramai. Selain itu, pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) turut dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan,” menurut kenyataan tersebut.

KPKT turut memaklumkan bahawa peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Perintah Pengangkutan Jalan PBT telah digunakan bagi mendakwa individu yang terlibat. Mereka yang bersalah boleh dikenakan denda dan/atau hukuman penjara.

Dalam pada itu, pendekatan ‘whole of government’ digunakan menerusi kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan untuk tindakan menyeluruh terhadap sindiket ini.

Sebagai langkah jangka panjang, KPKT turut mempromosi perniagaan sah melalui inisiatif seperti MyKiosk dan pengeluaran permit penjaja mudah lulus kepada warga tempatan.

Mereka yang terlibat dalam kegiatan kutu parkir sering mengambil kesempatan terhadap kekurangan tempat letak kereta khususnya di kawasan komersial padat, lantas mengenakan caj tanpa kebenaran dan kadang kala mengugut pengguna jika enggan membayar.

Menurut laporan media sebelum ini, aktiviti kutu parkir tidak hanya berlaku di ibu kota, tetapi juga di bandar-bandar pelancongan seperti Melaka dan Pulau Pinang. Aktiviti ini mencetuskan keresahan dalam kalangan pelancong tempatan dan asing serta menjejaskan imej bandar.

Pihak kementerian menegaskan akan terus meningkatkan penguatkuasaan serta menggalakkan orang ramai melaporkan aktiviti kutu parkir melalui saluran rasmi agar tindakan sewajarnya dapat diambil.