Selangor rangka garis panduan infrastruktur mesra OKU

13 Jun 2026, 11:42 AM
Selangor rangka garis panduan infrastruktur mesra OKU
Selangor rangka garis panduan infrastruktur mesra OKU
Selangor rangka garis panduan infrastruktur mesra OKU

SHAH ALAM, 13 JUN: Kerajaan Negeri sedang membangunkan satu garis panduan berkaitan kemudahan infrastruktur khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan pembangunan yang lebih inklusif di Selangor.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata garis panduan itu akan dibangunkan bersama Majlis Tindakan Orang Kelainan Upaya Selangor (MTOS) dan perlu dipatuhi semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut beliau, inisiatif berkenaan selari dengan pelaksanaan Dasar OKU Selangor serta Pelan Tindakan OKU Selangor 2026-2030.

“Kita baru luncurkan Dasar OKU Selangor, Pelan Tindakan 2026-2030 dan kita akan teruskan. Dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) kita meletakkan keutamaan untuk memastikan Selangor berdaya huni.

“Jadi melibatkan apa-apa perancangan program, pembangunan mesti inklusif daripada segi pembangunan infrastruktur, premis juga perlu 'accessible',” katanya selepas merasmikan Program Advokasi Penjagaan Orang Kurang Upaya (Autisme) peringkat Selangor di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam.

Sehubungan itu, Anfaal yang juga EXCO pembangunan wanita berkata pihaknya bekerjasama dengan MTOS dalam membangunkan garis panduan yang perlu dipatuhi semua pihak berkuasa tempatan sebelum dilancar dalam masa terdekat.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ditemui media dalam Program Advokasi Penjagaan Orang Kurang Upaya (Autisme) peringkat Selangor di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada 13 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Sebelum ini mungkin dah ada tetapi mungkin tiada 'enforcement' penguatkuasaan untuk mana-mana pembangunan baharu perlu mematuhi syarat 'universal design' untuk reka bentuknya,” ujarnya.

Baru-baru ini, Dasar OKU Selangor dilancar selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Mei lalu meluluskannya sebagai langkah memperkukuh hak serta inklusiviti golongan berkenaan.

Terdiri daripada lima teras, dasar itu menjadi langkah strategik Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda pembangunan inklusif dengan meletakkan komuniti OKU sebagai rakan kongsi setara dalam pembangunan negeri.

Teras utama dasar itu adalah Kesejahteraan Hidup dan Kesaksamaan Sosial bagi memastikan kesejahteraan hidup dan kesaksamaan sosial bagi OKU di Selangor melalui peningkatan akses kesihatan, perlindungan sosial, bantuan kewangan dan sokongan komunti secara menyeluruh.

Teras kedua iaitu Pendidikan dan Pembangunan Sepanjang Hayat bagi memastikan OKU menerima sokongan menyeluruh merangkumi aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan kesihatan melalui perkhidmatan yang inklusif dan mudah akses serta memperkukuh sistem sokongan dan kapasiti penjaga.

Teras ketiga iaitu Produktiviti dan Pembangunan Ekonomi bagi memperkukuh peluang pekerjaan dan keusahawanan golongan OKU di Selangor melalui latihan kemahiran, akses kepada pasaran, insentif majikan dan pembangunan kapasiti perniagaan inklusif.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menyampaikan kad OKU kepada penerima dalam Program Advokasi Penjagaan Orang Kurang Upaya (Autisme) peringkat Selangor di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada 13 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Teras keempat iaitu Aksesibiliti dan Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) memastikan akses pendidikan inklusif dan peluang pembelajaran sepanjang hayat bagi OKU di Selangor melalui pembinaan sistem sokongan, penyesuaian kurikulum dan pengukuhan kapasiti institusi pendidikan.

Teras kelima adalah Tadbir Urus dan Advokasi OKU bagi memperkukuh penyediaan prasarana, kemudahan awam dan pengangkutan yang mesra OKU di seluruh Selangor, selaras prinsip reka bentuk sejagat bagi meningkatkan mobiliti dan kualiti hidup OKU.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.