SHAH ALAM, 30 JAN: Cadangan penyelesaian bagi isu penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman Selangor Dredging, Dengkil perlu diberikan pertimbangan wajar dan tidak disalah tafsir sebagai tiada bantuan, kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS), V. Papparaidu.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama wakil Pejabat Daerah & Tanah Sepang (CADO), Pegawai Perancang Bandar Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), wakil pengurusan kuil, serta bekas setiausaha politik wakil rakyat Dengkil untuk membincangkan isu penempatan semula kuil berkenaan.
Papparaidu menjelaskan bahawa pada 1997, kerajaan melalui PTD Sepang pernah menawarkan tanah Rumah Ibadah Bukan Islam (RIBI) untuk tujuan penempatan semula kuil. Bagaimanapun, tiada permohonan dikemukakan oleh pihak pengurusan kuil pada masa itu.
Beliau menambah, tanah yang pernah ditawarkan kini tidak lagi tersedia kerana telah dimasukkan dalam perancangan pembangunan lain, iaitu Gerai Pembangunan Luar Bandar (PLB). Tapak semasa kuil pula dikenalpasti sebagai Tanah Rizab Melayu dan dimiliki pihak persendirian.
“Sehingga keputusan mahkamah diperoleh, tiada penyelesaian muktamad boleh dilaksanakan. Keputusan mahkamah akan menentukan kedudukan dan hala tuju isu ini secara sah, adil dan berlandaskan undang-undang,” katanya.
Papparaidu menegaskan, semua isu berkaitan penempatan semula kuil hanya akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa LIMAS, bagi memastikan setiap tindakan diambil secara sistematik dan telus.
Beliau berkata, perkara ini wajar dijadikan pengajaran bersama bahawa setiap penyelesaian yang ditawarkan kerajaan perlu diberi pertimbangan sewajarnya dan tidak disalah tafsir sebagai tiada bantuan.


