Penternak ayam Kuala Langat diberi tempoh dua tahun setengah selesai pemutihan

31 Ogos 2026, 7:00 AM
Penternak ayam Kuala Langat diberi tempoh dua tahun setengah selesai pemutihan

SHAH ALAM, 31 OGOS: Pengusaha penternakan ayam di tanah Perhutanan di Kuala Langat diberikan tempoh peralihan kira-kira dua tahun setengah untuk melengkapkan proses pemutihan, permohonan lesen serta memenuhi syarat ditetapkan agensi berkaitan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting V. Papparaidu berkata keputusan itu dicapai menerusi dua mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikannya bagi mencari penyelesaian terhadap isu membabitkan penternak ayam dan pengusaha kebun sayur di kawasan berkenaan.

Menurutnya, tempoh tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha kerana tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya mereka gagal mematuhi syarat selepas tempoh diberikan.

“Kerajaan Negeri pada masa sama mahu memastikan penyelesaian yang dibuat tidak hanya melihat aspek penguatkuasaan, tetapi turut mengambil kira kelangsungan industri penternakan, keterjaminan makanan dan nasib para penternak,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata kawasan khusus seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) juga boleh dipertimbangkan bagi aktiviti penternakan, tertakluk kepada kekosongan dan syarat yang ditetapkan.

Sementara itu, Papparaidu berkata pengusaha kebun sayur yang menjalankan aktiviti pertanian di tanah Perhutanan tanpa kebenaran Pengarah Perhutanan diberikan tempoh sehingga 31 Disember 2026 untuk mengeluarkan hasil yang telah diusahakan.

Selepas tarikh berkenaan, tindakan dan penyelesaian lanjut akan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang serta keputusan agensi berkaitan.

Beliau turut mencadangkan tanah pertanian milik atau di bawah pengurusan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dikenal pasti sebagai lokasi alternatif kepada pengusaha yang mahu meneruskan aktiviti pertanian secara sah.

Menurutnya, mekanisme penyewaan atau pajakan tanah sedia ada di bawah PKPS boleh diterokai bagi tujuan tersebut.

“Matlamat kita jelas iaitu menyelesaikan isu secara teratur, memastikan pematuhan undang-undang, pada masa sama tidak meminggirkan mata pencarian rakyat.

“Saya mahu setiap penyelesaian yang dibuat memberi ruang kepada mereka untuk meneruskan usaha secara sah, tersusun dan lebih terjamin,” katanya.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Pegawai Daerah Kuala Langat Tengku Rohana Tengku Nawawi, Pengarah Perhutanan Negeri Selangor Azhar Ahmad, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), ketua kampung serta wakil komuniti dan PKPS.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.