Permohonan eskalator kuil Batu Caves tidak patuhi syarat tanah kerajaan

8 Jan 2026, 9:05 AM
Permohonan eskalator kuil Batu Caves tidak patuhi syarat tanah kerajaan

SHAH ALAM, 8 JAN: Kerajaan Negeri menolak permohonan tanah melibatkan Kuil Hindu Batu Caves bagi tujuan pemasangan eskalator kerana permohonan tersebut dikemukakan atas nama individu, sekali gus tidak memenuhi syarat kelulusan penggunaan tanah milik kerajaan.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu berkata, tanah kerajaan hanya boleh diluluskan untuk kegunaan awam sekiranya permohonan dibuat atas nama persatuan atau badan yang berdaftar secara sah.

Menurut beliau, permohonan itu dikemukakan pada Februari tahun lalu sebelum diputuskan untuk ditolak dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Kerajaan Negeri tidak membenarkan mana-mana tanah milik kerajaan digunakan untuk kegunaan awam atas nama individu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Papparaidu menjelaskan, pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Kuala Lumpur perlu didaftarkan secara rasmi di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), selaras dengan garis panduan Jawatankuasa MMKN.

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang halangan terhadap cadangan pembinaan eskalator di situ, namun sebarang kelulusan hanya boleh dipertimbangkan selepas pihak pengurusan kuil mematuhi keperluan pendaftaran tersebut.

“Kerajaan tidak menolak pembangunan eskalator, tetapi proses kelulusan mesti mengikut peraturan dan tatacara sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Papparaidu berkata beliau bersedia berdepan dengan sebarang tindakan undang-undang yang difailkan oleh Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Kuala Lumpur, Tan Sri R. Nadarajah, serta pihak pengurusan kuil berkenaan.

“Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah dan tidak akan memohon maaf berkaitan perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Papparaidu memaklumkan dua buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), iaitu SJKT Pusat Telok Datok dan SJKT Ladang Gadong di Tanjung Sepat, telah menerima geran hak milik tanah yang dipohon sejak tahun 2021.

Beliau berkata pemilikan geran tanah amat penting bagi memastikan sekolah memiliki dokumen rasmi yang diiktiraf sepenuhnya, sekali gus memudahkan urusan pentadbiran dan perancangan pembangunan jangka panjang.

“Tanpa geran hak milik, perancangan pembangunan sekolah terhalang. Sebagai contoh, SJKT Pusat Telok Datok sebelum ini tidak dapat meneruskan hasrat membina dataran terbuka kerana status tanah yang belum dimuktamadkan,” katanya.