ad

Permohonan U-PLATS dilanjut hingga 15 Oktober, peluang lonjak hasil jualan

6 Okt 2025, 1:30 PM
Permohonan U-PLATS dilanjut hingga 15 Oktober, peluang lonjak hasil jualan
Permohonan U-PLATS dilanjut hingga 15 Oktober, peluang lonjak hasil jualan

SHAH ALAM, 6 OKT: Permohonan program Latihan Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS) yang menawarkan pelbagai manfaat termasuk geran perniagaan, pensijilan halal serta akses pasaran eksport dilanjutkan sehingga 15 Oktober ini.

Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) memaklumkan inisiatif tersebut terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu U-PLATS Expand, U-PLATS Halal dan U-PLATS Digital.

“U-PLATS Expand menawarkan pembiayaan untuk perluasan perniagaan melalui konsep pra francais dan francais, dengan peserta terpilih menerima geran RM5,000.

“U-PLATS Halal pula menyediakan bimbingan lengkap untuk pensijilan halal termasuk dokumentasi dan permohonan MYeHALAL dengan geran bernilai RM10,000 untuk peserta terpilih,” maklum agensi itu di Facebook.

Menurut Hijrah Selangor, dua komponen tersebut hanya terbuka kepada pemegang Sijil U-PLATS Digital sebagai syarat penyertaan manakala U-PLATS Digital pula terbuka kepada semua usahawan di negeri ini.

“U-PLATS Digital fokus kepada latihan pemasaran digital dan e-dagang seperti penggunaan Google My Business dan TikTok selain menguasai kecerdasan buatan (AI) untuk usahawan mikro.

“Peserta dengan jualan tahunan minimum RM24,000 akan dipertimbangkan untuk Boostcamp selama 3 hari 2 malam, menerima peranti POS PLATS dan bimbingan bernilai RM5,000.” tambahnya.

Dilancarkan pada 2023 oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, program U-PLATS bertujuan membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital dengan sokongan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).