Setahun tragedi Putra Heights, mangsa bangkit walau trauma masih membekas

1 Apr 2026, 3:00 AM
Setahun tragedi Putra Heights, mangsa bangkit walau trauma masih membekas
Setahun tragedi Putra Heights, mangsa bangkit walau trauma masih membekas
Setahun tragedi Putra Heights, mangsa bangkit walau trauma masih membekas
Setahun tragedi Putra Heights, mangsa bangkit walau trauma masih membekas

SUBANG JAYA, 1 APR: Genap setahun tragedi letupan paip gas di Putra Heights, namun luka dan trauma yang ditinggalkan masih segar dalam ingatan mangsa, meskipun mereka kini perlahan-lahan bangkit membina semula kehidupan.

Pesara, Marizah Omar, 59, berkata beliau sekeluarga kini mendiami rumah baharu bantuan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Kuala Sungai Baru sejak Januari lalu, selepas kediaman mereka musnah dalam kejadian pada hari kedua Syawal tahun lalu.

Katanya, walaupun pengalaman pahit itu masih membekas, mereka kini semakin kuat untuk menerima ketentuan dan meneruskan kehidupan.

“Trauma memang ada. Kalau saya gambarkan sekarang ini keadaan pada masa itu, memang kita tidak akan sangka ia berlaku dan jadi satu pengalaman yang kita sahaja alamilah, sebab kita yang terlibat. Memang sangat hebat lah pengalaman tu.

“Kita cuba untuk mengawal emosi kita. Insya-Allah dengan pegangan agama dan iman kita, pulihlah sedikit demi sedikit. Macam cucu saya memang dia trauma. Pada peringkat awalnya, balik sini pun tak boleh. Tengok tempat ini pun tak boleh. Bunyi-bunyi yang kuat semua tak boleh. Sangat sensitif.

“Tapi makin lama, Alhamdulillah kami semua semakin pulih dan kita tahu semua kuasa Allah, mungkin kita yang terpilih. Jadi, kami reda. Maksudnya, Tuhan bagi, Tuhan ambil. Masa akan datang, Insya-Allah ada yang lain,” katanya kepada Media Selangor.

Mangsa tragedi, Marizah Omar, 59, berkongsi pengalaman bersama Media Selangor ketika tinjauan di Kampung Kuala Sungai Baru pada 18 Mac 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Detik cemas letupan, keluarga terpisah ketika menyelamatkan diri

Mengimbau tragedi itu, Marizah berkata letupan berlaku sekitar jam 8 pagi ketika beliau dan ahli keluarga sedang bersiap untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

“Saya sedang mengemas barang, suami pula baru pulang membawa sarapan. Tak sampai lima saat dia masuk rumah, tiba-tiba berlaku letupan kuat. Bila bunyi meletup itu, kita kata, kenapa itu? Kita pergi tengok dekat luar.

“Masa itu dah nampak dekat atas rumah ini ada letupan. Jadi suami saya kata, kita terus keluar daripada rumah dan memang keluar sehelai sepinggang. Tidak ada apa pun yang kita ambil sebab kita pun tak tahu apa yang berlaku sebenarnya.

“Dalam keadaan kelam-kabut, kami sekeluarga terpisah ketika menyelamatkan diri. Kami hanya berjumpa kembali di hospital kerana semuanya cedera. Anak perempuan saya ketika itu terus menjalani pembedahan dan kami hanya dapat berjumpa beberapa minggu kemudian,” katanya.

Tempoh pemulihan panjang, kos rawatan tinggi

Mangsa tragedi, Marizah Omar, 59, dilihat memakai garment khas pada bahagian kaki bagi membantu proses pemulihan kulit ketika tinjauan di Kampung Kuala Sungai Baru pada 18 Mac 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Akibat kejadian itu, Marizah mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan dan terpaksa menggunakan kerusi roda hampir sebulan selepas menjalani pembedahan.

Menurutnya, proses pemulihan mengambil masa panjang dengan rawatan berkala selain menanggung kos ubat yang tinggi.

“Doktor kata proses pemulihan kulit ini boleh mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun dan ada kesan parut kekal. Jadi kami hanya ikut rawatan yang disarankan.

"Kos rawatan juga menjadi cabaran apabila ubat sapuan khas yang digunakan mencecah lebih RM100 bagi satu tiub kecil dan perlu digunakan secara kerap," katanya.

Namun di sebalik kepayahan itu, beliau meluahkan rasa lega apabila akhirnya memiliki tempat berteduh selepas melalui tempoh sukar berpindah-randah dan menyewa beberapa rumah.

“Bila ada rumah, memang rasa sangat lega. Sebelum ini kami menyewa kerana tiada apa yang tinggal selepas kejadian,” katanya.

Syukur terima rumah baharu, terus bangkit

Keadaan Kampung Kuala Sungai Baru kembali tenang setahun selepas tragedi letupan paip gas di Putra Heights ketika tinjauan pada 18 Mac 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Mengulas bantuan diterima, Marizah berkata pembinaan rumah baharu oleh kerajaan berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira setahun.

“Alhamdulillah walaupun ambil masa, kami tetap bersyukur kerana akhirnya dapat rumah. Nama pun bantuan, saya terima sahaja dan mana yang perlu saya baiki, saya baiki.

"Memanglah tidak akan dapat ganti seperti rumah sebelum ini, tapi sekurang-kurangnya rumah saya masih di tapak sama yang sudah saya diami kira-kira 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata pengalaman tersebut menjadikan dirinya lebih kuat dan lebih menghargai kehidupan, selain bertekad untuk terus membina masa depan bersama keluarga.

“Kita reda dengan apa yang berlaku dan cuba bangkit semula. Harap kehidupan selepas ini lebih baik dan kita jadi lebih sabar serta bersyukur,” katanya.

Pada Disember lalu, 18 keluarga mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights menarik nafas lega apabila kediaman mereka di Kampung Kuala Sungai Baru siap dibaik pulih dan dibina semula sepenuhnya, membabitkan peruntukan keseluruhan RM4.85 juta.

Pada 11 April 2025, Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Mohd Jamil Idris berkata agensi itu akan membina semula 81 kediaman yang musnah sepenuhnya dalam insiden berkenaan, melibatkan 48 unit di Taman Putra Harmoni dan 33 unit di Kampung Kuala Sungai Baru.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.