SHAH ALAM, 6 OKT: Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor menjadi platform untuk majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada pelbagai golongan termasuk orang kurang upaya (OKU), Orang Asli, asnaf dan bekas banduan.
Pengurus Sumber Manusia Woodrose Healthcare Sdn Bhd, Rohani Mazlan berkata beliau menerima maklum balas positif sejak menyertai beberapa siri jelajah kerjaya anjuran Kerajaan Negeri.

“Sepanjang sertai karnival ini setiap pemohon beri maklum balas positif dan mahu mengetahui berkaitan rumah penjagaan yang mempunyai lima cawangan setakat ini.
“Pada siri kali ini, kita buka kepada OKU kerana mahu beri mereka peluang…mungkin mereka ada kekangan untuk mendapat pekerjaan, jadi kita beri ruang dan bantu,” katanya kepada Media Selangor.
Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor merupakan program anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor dengan kerjasama MYFutureJobs.

Dalam pada itu, Pengurus Cawangan 99 Speed Mart Sdn Bhd, Mohamad Syukri Zazali berkata lebih 100 individu telah diambil sejak pihaknya menyertai karnival kerjaya tersebut.
“Sebagai majikan, kita sahut inisiatif karnival ini. Kita buka peluang kerja kepada semua golongan. Setakat jam 11 pagi ini, seramai 20 individu hadir hantar resume dan lapan daripadanya telah diterima bekerja. Selebihnya akan dipanggil untuk temuduga kedua.
“Karnival ini merupakan platform terbaik untuk majikan dengan tawarkan pelbagai kekosongan yang bukan sahaja di Selangor bahkan di cawangan negeri lain,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor Mohd Rashidi Ruslan memaklumkan penganjuran karnival ini memudahkan pihaknya berkongsi tawaran jawatan kosong.
“Jawatan ditawarkan dari semasa ke semasa melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengikut kelayakan yang ditetapkan.
“Mereka yang berminat boleh memohon terutama bagi pengambilan jawatan tetap dalam kumpulan sokongan,” katanya.