ad

Selangor sasar kadar pengangguran turun sehingga 1.5 peratus

6 Okt 2025, 6:29 AM
Selangor sasar kadar pengangguran turun sehingga 1.5 peratus

SHAH ALAM, 6 OKT: Selangor menyasarkan kadar pengangguran menurun sehingga 1.5 peratus dengan pelaksanaan beberapa siri karnival kerjaya.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata sasaran itu berdasarkan trend penurunan yang direkodkan sejak pandemik Covid-19 iaitu 0.1 peratus setiap tahun.

“Trend penurunan bermula Covid-19 iaitu waktu itu 3.9 peratus dan sehingga kini kadar terus menurun kepada 1.9 peratus.

“Daripada 112,000 orang ia menurun kepada 88,000. Kita yakin pada masa akan datang angka itu terus menurun mungkin sehingga 50,000. Ini adalah sasaran kita untuk kurangkan kadar pengangguran dan kemiskinan.

“Untuk menjadikan kadar pengangguran kepada sifar adalah mustahil tetapi tanggungjawab kerajaan adalah menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi,” katanya ketika Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor hari ini.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam( MBSA), lebih 40 majikan menyertai karnival yang turut menyasarkan golongan orang kurang upaya, bekas banduan dan warga emas.

Papparaidu turut menjelaskan, karnival tersebut turut memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya untuk mendapat pekerjaan mengikut keupayaan masing-masing.

“Golongan ini terdiri daripada pelbagai kategori dan berkeupayaan, kemungkinan mereka mampu bekerja. Sebab itu, kita sediakan platform untuk beri mereka ruang bekerja.

“Bukan itu sahaja, bekas banduan juga hadir untuk mencari pekerjaan. Golongan ini juga tidak boleh dikecualikan dan perlu diberikan peluang membina kehidupan,” katanya.