SHAH ALAM, 6 OKT: Seramai 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka pulang ke tanah air seawal hari ini selepas dibebaskan daripada tahanan pihak berkuasa Israel.
Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar, memaklumkan semua proses logistik sedang giat diusahakan bagi memastikan mereka dapat pulang dengan segera dalam keadaan selamat dan teratur.
“Mereka semua dalam keadaan baik dan sihat. Kami berharap dapat terbang secepat mungkin. Kalau tidak hari ini, insya-Allah esok (Isnin),” katanya dipetik sebagai berkata kepada Berita Harian.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan semua sukarelawan Malaysia telah dibebaskan dan dibawa ke Istanbul, Turkiye selepas ditahan ketika menyertai misi flotilla kemanusiaan ke Palestin.
Kesemua mereka ditahan pada Khamis lalu oleh pihak berkuasa Israel dan dipindahkan ke penjara Ketziot di padang pasir Negev, sebelum dihantar pulang ke Istanbul menaiki pesawat Turkish Airlines dari Eilat.
Antara sukarelawan terbabit termasuk personaliti terkenal penyanyi Heliza Helmi bersama adiknya, Hazwani Afiqah; aktivis Farah Lee; selebriti Zizi Kirana dan Ardell Aryana; serta pendakwah PU Rahmat.
Difahamkan, sepanjang dalam tahanan Israel, mereka tidak diberi makanan dan hanya bertahan dengan minum air dari tandas, malah tiba di Istanbul sehelai sepinggang memakai pakaian tahanan.
“Masa sampai, hampir semua kelaparan. Kami terus sediakan nasi putih, ayam goreng kunyit, sambal belacan dan rojak buah untuk mengembalikan semangat mereka,” kata Ahmad Amiri.
Menurutnya lagi, walaupun mereka memiliki pasport, pihak konsulat tetap membuka pejabat pada hari cuti bagi membantu urusan perhubungan dengan keluarga dan pembelian keperluan harian.
“Kami sediakan makan tengah hari di pejabat dan beri mereka guna komputer. Semalam juga kami bantu mereka membeli barang keperluan,” tambah beliau.
Misi Global Sumud Flotilla yang disertai oleh lebih 400 aktivis dari seluruh dunia termasuk Malaysia, adalah inisiatif kemanusiaan rentas sempadan untuk membawa mesej solidariti kepada rakyat Palestin yang dizalimi.
Misi itu berlayar ke Gaza dari pelabuhan Turkiye namun dihalang oleh tentera Israel di perairan antarabangsa, satu tindakan yang dikritik hebat oleh pertubuhan hak asasi antarabangsa kerana melanggar undang-undang maritim dan prinsip kemanusiaan.
Sumud Nusantara, sebagai wakil Malaysia dalam misi tersebut, sebelum ini menyatakan bahawa semua peserta flotilla bergerak secara aman tanpa senjata, membawa bantuan dan mesej sokongan kepada rakyat Palestin.
Walaupun aktivis Malaysia telah dibebaskan, seorang peserta dari Pakistan, Senator Mushtaq Ahmed Khan masih ditahan, dan desakan pembebasan beliau terus digemakan oleh pelbagai pihak.
Kepulangan 23 sukarelawan Malaysia disambut dengan penuh kelegaan, namun peristiwa yang dialami mereka menjadi peringatan jelas terhadap cabaran besar dalam perjuangan kemanusiaan untuk Palestin.