Ratusan aktivis Flotila Gaza dibawa ke Greece

1 Mei 2026, 12:36 AM
Ratusan aktivis Flotila Gaza dibawa ke Greece
Ratusan aktivis Flotila Gaza dibawa ke Greece
Ratusan aktivis Flotila Gaza dibawa ke Greece

ATHENS, 1 MEI: Israel memaklumkan puluhan aktivis yang ditahan selepas dipintas tenteranya dalam misi flotila bantuan menuju Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Crete akan dibawa ke Greece.

Kementerian Luar Israel sebelum ini menyatakan kira-kira 175 aktivis dipindahkan daripada lebih 20 bot.

Flotila berkenaan adalah usaha terbaharu oleh aktivis pro-Palestin untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza, dengan penganjur menyatakan jumlah yang ditahan ialah 211 orang, termasuk seorang ahli majlis bandar raya Paris.

Menteri Luar Israel, Gideon Saar, menerusi platform X, mengucapkan terima kasih kepada Greece atas 'kesediaannya menerima peserta flotila'.

"Dengan penyelarasan bersama kerajaan Greece, individu yang dipindahkan daripada kapal flotila ke kapal Israel akan diturunkan di sebuah pantai Greece dalam beberapa jam akan datang," katanya

Jurucakap Global Sumud France, Helene Coron, sebelum itu memberitahu sidang media dalam talian bahawa operasi pemintasan berlaku berhampiran pulau Crete di Greece, pada jarak yang 'belum pernah berlaku sebelum ini' dari pantai Gaza.

Rom dan Berlin dalam kenyataan bersama memaklumkan mereka memantau perkembangan itu 'dengan kebimbangan mendalam', manakala Madrid mengutuk rampasan berkenaan dan memaklumkan telah memanggil wakil sementara Israel di Sepanyol.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, menuduh Israel 'sekali lagi melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyerang flotila awam di perairan yang bukan miliknya', sambil menggesa Kesatuan Eropah (EU) membekukan hubungan dua hala.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan operasi pemintasan itu sebagai kejayaan sepenuhnya dan menggambarkan peserta sebagai 'penyokong Hamas'.

Penganjur flotila terbaharu itu pada awal Khamis mengumumkan bahawa bot mereka telah dikepung oleh kapal tentera Israel ketika berada di perairan berhampiran pantai Crete.

"Bot kami dihampiri bot laju tentera yang mengenal pasti diri sebagai 'Israel', menghalakan laser dan senjata serangan separa automatik serta mengarahkan peserta ke bahagian hadapan bot dan berlutut," menurut Global Sumud Flotilla, lapor Berita Harian.

AFP mengesahkan, berdasarkan data penjejakan daripada penganjur, bahawa bot berkenaan dipintas dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) Greece.

Kira-kira 30 bot daripada flotila itu masih dalam perjalanan, kebanyakannya kini berada di perairan wilayah Greece di selatan Crete, menurut sumber sama. - AFP

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.