SHAH ALAM, 6 OKT: Gerakan kemanusiaan Sumud Nusantara menggesa rejim Israel segera membebaskan Senator Pakistan, Mushtaq Ahmed Khan yang masih ditahan meskipun kesemua aktivis Malaysia yang menyertai misi flotilla telah pun dibebaskan.
Pengarah Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri memaklumkan, Senator Mushtaq adalah antara 462 aktivis kemanusiaan antarabangsa yang menyertai misi Global Sumud Flotilla — sebuah inisiatif kemanusiaan rentas sempadan untuk membawa mesej solidariti kepada rakyat Palestin.
“Beliau kini dilaporkan masih ditahan di salah sebuah penjara rejim Zionis. Ini satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan jelas mencabuli undang-undang antarabangsa, memandangkan semua peserta merupakan aktivis awam tanpa sebarang niat provokatif,” katanya dalam hantaran di Instagram hari ini.
Kapal yang membawa peserta misi itu dipintas secara agresif oleh tentera Israel di perairan antarabangsa, sekali gus mencetuskan kebimbangan global terhadap keselamatan aktivis terbabit.
Menurut Nadir, semua peserta flotilla menjalankan misi secara aman, tanpa bersenjata dan mematuhi prinsip undang-undang maritim antarabangsa, menjadikan tindakan penahanan itu satu bentuk kezaliman yang tidak boleh diterima.
“Tiada justifikasi sah untuk terus menahan Senator Mushtaq, terutama apabila aktivis dari negara lain termasuk Malaysia telah dibebaskan dan pulang dengan selamat ke tanah air,” jelas beliau.
Beliau turut menambah bahawa penahanan berterusan terhadap senator Pakistan itu dilihat sebagai cubaan Israel untuk menekan suara yang lantang menyuarakan pembelaan terhadap rakyat Palestin yang dizalimi.
“Ini satu lagi bukti bagaimana rejim Zionis menyalahguna kuasa dan menindas gerakan kemanusiaan yang bertujuan membantu penduduk Palestin yang berhadapan sekatan dan keganasan setiap hari,” katanya.
Sehubungan itu, Sumud Nusantara menyeru semua pihak — masyarakat antarabangsa, pertubuhan hak asasi manusia dan rakyat Malaysia — agar tampil bersolidariti menuntut pembebasan segera Senator Mushtaq serta mana-mana aktivis Global Sumud Flotilla yang masih ditahan.
“Kami juga menggesa kerajaan Malaysia supaya mengambil pendirian lebih tegas di peringkat antarabangsa, termasuk melalui saluran diplomatik, bagi menekan Israel supaya mematuhi undang-undang antarabangsa,” tegasnya.
Misi Global Sumud Flotilla disertai oleh aktivis dari pelbagai latar belakang dan negara termasuk Malaysia, Indonesia, Afrika Selatan, Turkiye dan Eropah. Ia merupakan salah satu misi solidariti terbesar pada tahun ini yang digerakkan oleh gabungan NGO antarabangsa.
Misi itu bukan sahaja membawa mesej kemanusiaan, malah berperanan memberi tekanan moral terhadap kekejaman berterusan yang dihadapi rakyat Palestin sejak sekian lama.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Israel berhubung status sebenar Senator Mushtaq atau tarikh pembebasan beliau, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap layanan yang diterima semasa dalam tahanan.