SHAH ALAM, 5 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menawarkan perkhidmatan kutipan sampah pukal secara percuma sempena perayaan Deepavali.
MBSJ menerusi Facebook memaklumkan penduduk sekitar kawasan bandar raya tersebut perlu membuat permohonan bermula esok hingga 15 Oktober ini.
"MBSJ menawarkan perkhidmatan kutipan sampah pukal secara percuma bagi kawasan perumahan teres di kawasan pentadbirannya sempena perayaan Deepavali," maklum pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Antara kategori sampah pukal dibenarkan adalah tilam dan perabot lama manakala sampah ubah suai rumah, pindah rumah, barangan elektrik dan barang kitar semula tidak termasuk dalam senarai tersebut
Permohonan boleh dibuat terus melalui KDEB Waste Management Sdn Bhd di talian 03-8081 4437 atau melalui aplikasi WhatsApp di nombor 011-3538 4437.
