SHAH ALAM, 5 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperuntukkan RM185 juta dalam Belanjawan 2026 bagi pelbagai inisiatif termasuk pembangunan sukan, penyelenggaraan kemudahan awam dan perkhidmatan asas kepada penduduk.
Timbalan Yang Dipertuanya Hasrolnizam Shaari berkata, walaupun sebahagian besar peruntukan digunakan bagi menampung kos pengurusan dan keperluan jabatan, sejumlah RM500,000 diperuntukkan khusus untuk pembangunan sukan akar umbi.
“Selain memperkukuh perkhidmatan sedia ada seperti penyelenggaraan awam, MPAJ juga menumpukan kepada usaha melahirkan bakat sukan tempatan.
“Kita memperuntukkan RM500,000 untuk mempromosikan sukan seperti sepak takraw, bola jaring, pingpong dan boling padang melalui penganjuran kejohanan, bengkel kejurulatihan serta latihan teknikal,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MPAJ di Menara MPAJ, baru-baru ini, lapor The Star.
Menurut beliau, sukan tersebut mempunyai potensi besar namun kurang peluang untuk dikembangkan.
“Jika peserta didedahkan dengan latihan dan pendedahan mencukupi, kita mampu lahirkan atlet tempatan berpotensi tinggi,” katanya.
Dalam pada itu Hasrolnizam berkata sebahagian besar bajet tahunan MPAJ tertumpu kepada kos pengurusan dan operasi asas, sekali gus menghadkan kemampuan untuk projek pembangunan baharu.
“Sebagai alternatif, MPAJ menggunakan akaun lain bagi melaksanakan kerja naik taraf kemudahan,” katanya.
Antara projek yang bakal dijalankan ialah naik taraf medan selera lama di Taman Melawati serta beberapa dewan komuniti, dengan anggaran kos antara RM2 hingga RM5 juta.
MPAJ turut meneruskan usaha menaik taraf padang dan kawasan rekreasi awam, termasuk 18 tapak lapang yang telah dibaik pulih tahun ini.
Sementara itu, MPAJ turut merekodkan peningkatan 22.69 peratus kutipan cukai taksiran tahun ini dengan RM88.7 juta dikutip setakat 31 Ogos, meningkat RM16.4 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Berdasarkan Belanjawan 2025, MPAJ menyasarkan kutipan semasa cukai taksiran RM93 juta," katanya.