ad

Selangor perkukuh pelancongan perubatan, Selgate terajui sektor kesihatan

6 Okt 2025, 3:00 AM
Selangor perkukuh pelancongan perubatan, Selgate terajui sektor kesihatan

SHAH ALAM, 6 OKT: Selangor memberi tumpuan baharu terhadap pelancongan perubatan sebagai sebahagian daripada strategi kesihatan negeri, dengan hospital pakar milik Selgate Corporation dijadikan contoh perluasan perkhidmatan kesihatan melebihi rawatan asas komuniti.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, berkata model Selgate direka untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat pada semua peringkat umur sambil mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab pelancongan perubatan Malaysia.

“Sebelum pembangunan hospital pakar, kami telah menubuhkan jenama Selcare yang kini mengendalikan klinik, pergigian, farmasi, perkhidmatan diagnostik, kejururawatan dan pemulihan yang diperakui ISO.

“Perkhidmatan ini diperkukuh melalui platform digital SELangkah yang menyimpan rekod perubatan elektronik bagi memastikan sambungan rawatan lebih lancar.

Dengan hospital kini menjadi teras sistem ini, model bersepadu ini menawarkan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses, berterusan dan berkualiti tinggi di seluruh Selangor,” katanya kepada Media Selangor.

Dato Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate Noor Hisham Mohd Ghouth merasmikan Pusat Penjagaan Kesihatan Bersepadu Selgate di Unisel Shah Alam pada 19 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pembangunan hospital swasta disokong Kerajaan Negeri itu selaras dengan visi Selangor untuk mempelbagaikan ekonomi melalui pelaburan dalam sektor kesihatan dan hartanah, selain mengukuhkan peranan negeri sebagai hab pelancongan perubatan serantau.

Setakat ini, dua hospital pakar Selgate telah siap dibina, masing-masing 224 katil di Rawang dan 121 katil di Sepang yang dijangka dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.

Selgate turut mengendalikan 11 klinik perubatan am, dua klinik pergigian, dua farmasi, satu makmal diagnostik serta pusat panggilan 24 jam.

“Bagi masa depan, kami sedang merangka pelan strategik bersama agensi utama termasuk Tourism Selangor, Invest Selangor Bhd dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) bagi menjadikan sektor kesihatan sebahagian daripada agenda pelancongan dan ekonomi negeri.

“Dengan menggabungkan perkhidmatan perubatan bertaraf dunia dan tarikan pelancongan Selangor sebagai destinasi percutian, perniagaan dan gaya hidup, kami mahu mengukuhkan profil negeri sebagai hab pelancongan kesihatan yang diyakini dan berdaya saing,” katanya.

Seimbangkan keperluan tempatan dan pelancongan kesihatan

Jamaliah menjelaskan, Selgate, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berperanan sebagai cabang pelaburan dan pengurusan kesihatan negeri, berusaha menyeimbangkan antara keperluan rakyat tempatan dan pesakit antarabangsa.

Komitmen terhadap penduduk Selangor diterjemahkan melalui rangkaian Selcare yang menawarkan perkhidmatan kesihatan komuniti merangkumi klinik, pergigian dan farmasi bagi memastikan rawatan berkualiti dan mudah dicapai.

Dalam masa sama, hospital pakar Selgate dibina mengikut piawaian antarabangsa dengan kemudahan moden yang menyediakan rawatan menyeluruh termasuk kardiologi, ortopedik, pembedahan robotik, bariatrik, rawatan mata, diagnostik, pemulihan dan penjagaan selepas bersalin.

“Pendekatan dua hala ini membolehkan kami memenuhi keperluan harian masyarakat tempatan sambil meletakkan Selangor sebagai destinasi pilihan pesakit antarabangsa yang mencari rawatan perubatan moden,” katanya.

Bagi meningkatkan pengalaman pesakit antarabangsa, perkhidmatan Selgate diintegrasikan dengan platform digital SELangkah bagi membolehkan pesakit mengakses rekod perubatan selepas rawatan.

Syarikat itu juga menyediakan perkhidmatan concierge dan bekerjasama dengan rakan pelancongan untuk menawarkan pakej yang menggabungkan rawatan kesihatan dan aktiviti pelancongan.

Jamaliah berkata, Selgate merupakan satu-satunya ekosistem kesihatan disokong Kerajaan Negeri yang memenuhi keperluan komuniti sambil menyokong pertumbuhan jangka panjang Selangor.

“Kami bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri melalui portfolio EXCO untuk melaksanakan program kesihatan dan kebajikan, manakala Yayasan Selgate turut menyalurkan bantuan kepada kumpulan rentan,” katanya.

Menurut laman web Selgate, selain hospital di Rawang dan Sepang, tiga lagi hospital pakar dirancang di Setia Alam (2026), Kuala Selangor (2029) dan Shah Alam (2029).

Selgate turut merancang membina hospital di Ulu Tiram, Johor Bahru (2026), Balik Pulau, Pulau Pinang (2028) dan Mont Kiara, Kuala Lumpur (2030).