ad

Empat lelaki didakwa ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng TR’ di Kuala Selangor

3 Okt 2025, 7:01 AM
Empat lelaki didakwa ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng TR’ di Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng TR’.

Mereka ialah S. Sugumaran, 45, S. Rajah, 27, M. Deva Kumaran, 44, dan Mugilan, 35.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang "Geng TR” antara November 2019 hingga 11 Sept 2025 di sebuah restoran makanan laut di Sungai Janggut, Jeram, di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan [Akta 574] dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim dan Lina Hanini Ismail memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang untuk dibicarakan.

Permohonan itu tidak dibantah oleh peguam Datuk S. Sivakumar dan Haziq Muhamad Shahal yang mewakili Sugumaran, manakala tiga tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan.