POLIS HONG KONG ARAH 6,000 ORANG DIPINDAHKAN SELEPAS PENEMUAN BOM PERANG DUNIA KE-2
HONG KONG, 19 SEPT: Pasukan Polis Hong Kong mengarahkan pemindahan segera kira-kira 6,000 orang pada Jumaat selepas sebuah bom zaman perang ditemukan di sebuah tapak pembinaan di Daerah Timur, Pulau Hong Kong, lapor Xinhua.
Operasi pelupusan bom itu dijadual bermula pada 2 pagi Sabtu waktu tempatan dan dijangka selesai dalam tempoh sehari, menurut polis.
Bom yang dikenal pasti sebagai bahan letupan udara dari Perang Dunia Kedua, berukuran kira-kira 1.5 meter panjang dan seberat kira-kira 1,000 paun, menurut sumber.
Pekerja di tapak pembinaan menemui bom itu dan melaporkannya kepada polis pada pagi Jumaat. Selepas penilaian, polis mengesahkan bom berkenaan masih berpotensi berfungsi dan memerlukan pelupusan berisiko tinggi di lokasi, sekali gus mencetuskan pemindahan kecemasan.
-- BERNAMA-XINHUA