Penduduk terlibat projek JALUR Selangor perlu diberi insentif pindah rumah

28 Okt 2026, 2:18 AM
Penduduk terlibat projek JALUR Selangor perlu diberi insentif pindah rumah

SHAH ALAM, 28 OKT: Penduduk yang perlu berpindah bagi memberi laluan kepada pembangunan bandar baharu menerusi Pelan Strategik Jalan Raya dan Lebuh Raya Selangor 2026-2035 (JALUR Selangor) wajar diberikan insentif bersesuaian.

Penasihat Industri Sekolah Perniagaan Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Manokaran Mottain berkata insentif seperti kediaman baharu dan peluang pekerjaan penting bagi memudahkan proses pemindahan penduduk terlibat.

Menurutnya, proses pemindahan mungkin berdepan cabaran kerana penduduk cenderung untuk kekal di kawasan yang sudah lama didiami bersama keluarga.

“Projek perumahan perlu dibangunkan di kawasan yang mempunyai peluang pekerjaan atau membolehkan penduduk menjalankan aktiviti perniagaan,” katanya kepada Media Selangor.

Manokaran menjelaskan, penduduk mungkin keberatan untuk berpindah meskipun kawasan baharu dilengkapi kemudahan pengangkutan yang baik kerana lebih selesa tinggal di persekitaran sedia ada.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan JALUR Selangor berpotensi membuka lebih banyak kawasan tanah yang belum dibangunkan menerusi penambahbaikan jaringan dan akses jalan raya.

Menurutnya, hubungan jalan raya yang lebih baik mampu meningkatkan akses ke kawasan kurang membangun, sekali gus membuka peluang pembangunan dan merancakkan kegiatan ekonomi setempat.

“Pelan ini akan membuka lebih banyak kawasan tanah untuk pembangunan,” katanya sambil menjadikan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebagai contoh kejayaan pembangunan infrastruktur jalan raya dalam membuka kawasan baharu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pelaksanaan projek berkenaan memerlukan peruntukan kewangan mencukupi serta pengurusan perbelanjaan yang cekap bagi memastikan hasilnya memberi manfaat kepada rakyat.

“Ini langkah yang baik dengan syarat Kerajaan Negeri mempunyai dana mencukupi dan perbelanjaan diurus dengan telus tanpa ketirisan.

“Sekiranya dana mencukupi untuk melaksanakan projek ini, Selangor berpotensi menjadi contoh pembangunan kepada negeri lain,” katanya.

Pelan JALUR Selangor bernilai RM77 bilion yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 30 September lalu merangkumi 115 projek jalan raya dan lebuh raya.

Pelan itu bertujuan memperkukuh jaringan jalan raya Selangor, meningkatkan akses ke kawasan sedang membangun serta merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui hubungan lebih baik antara komuniti dengan pusat kegiatan ekonomi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.