ad

KPM: Pentadbir sekolah dipindahkan, bantu siasatan kes tikam pelajar

14 Okt 2025, 12:39 PM
KPM: Pentadbir sekolah dipindahkan, bantu siasatan kes tikam pelajar

SHAH ALAM, 14 OKT: Pentadbir di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) hingga siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes tikaman pelajar 16 tahun hingga mati selesai.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, keputusan itu diambil bagi membantu siasatan dan jawatankuasa khas ditubuh untuk menyiasat kes secara tuntas, adil serta telus.

“Selain itu, pasukan kaunselor dan guru bimbingan kaunseling telah digerakkan bagi intervensi, sokongan dan psiko sosial kepada murid, guru serta seluruh warga sekolah yang terkesan.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad pada sidang media khas di Kementerian Pendidikan, Putrajaya pada 13 Oktober 2025. Foto BERNAMA

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berikrar akan menggandakan usaha sedaya upaya untuk memperbaiki kelemahan sedia ada bagi memastikan kawasan sekolah adalah selamat untuk anak-anak,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Dalam pada itu, Mohd Azam memaklumkan KPM sedang bekerja rapat dengan PDRM untuk memperkukuh tahap pemantauan di semua sekolah.

“PDRM akan memaklumkan langkah keselamatan awam untuk dilaksanakan bagi memastikan kawasan sekolah selamat untuk pelajar. Ini termasuk dengan meningkatkan kawalan keselamatan,” ujarnya lagi.

Beliau turut memohon semua pihak iaitu sekolah, ibu bapa, komuniti dan pihak berkuasa berganding bahu memainkan peranan dalam memastikan kawasan sekolah menjadi tempat selamat dan membesar.

Terdahulu, media memetik sumber melaporkan seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Petaling Jaya maut disyaki ditikam pelajar berusia 14 tahun pagi tadi. Suspek dipercayai direman esok.