ad

DNS beri ruang usul kutuk kekejaman zionis, fokus nasib aktivis GSF

3 Okt 2025, 6:11 AM
DNS beri ruang usul kutuk kekejaman zionis, fokus nasib aktivis GSF

SHAH ALAM, 3 OKT: Dewan Negeri Selangor (DNS) tidak menolak kemungkinan Ahli Dewan Negeri (ADN) membawa usul mengutuk kekejaman rejim Zionis dalam persidangan akan datang yang dijadual pada 14 November ini.

Speaker DNS Lau Weng San berkata pihaknya memberi ruang sepenuhnya kepada setiap wakil rakyat untuk mengemukakan usul berkenaan, khususnya berhubung isu kemanusiaan di Gaza.

"Sidang DNS akan berlangsung pada 14 November, maksudnya ada sebulan lebih. Kita tidak menolak apa-apa kemungkinan dan memberi kebebasan kepada ADN untuk membentangkan usul berkaitan kekejaman rejim zionis.

“Kita berharap keadaan bertambah baik menjelang persidangan, khususnya berkaitan nasib aktivis Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini ditahan pihak berkuasa Israel.

“Semoga semua rakyat Malaysia terlibat dalam misi kemanusiaan di Gaza dibebaskan dalam keadaan selamat, kita doakan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pendengaran Awam Mengenai Perkembangan Terkini Terhadap Usaha Menangani Masalah Banjir di Klang di Wisma DNS di sini hari ini.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan Zionis yang berterusan.

GSF mengesahkan lebih 450 aktivis dari 47 negara telah dipindahkan ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel.

Aktivis di atas kapal yang diserang oleh Israel terdiri daripada pelbagai warganegara, termasuk Sepanyol, Itali, Brazil, Turkiye, Greece, Amerika Syarikat, Jerman, Sweden, Britain, Malaysia, Perancis serta ramai lagi.